Johor Pilih Politik Prestasi, Rakyat Utamakan Hasil Kerja – Norshida
JOHOR BAHRU, 2 Mac – Dalam landskap politik yang kerap berubah, rakyat Johor dilihat semakin matang menilai prestasi kepimpinan berbanding terpengaruh dengan retorik politik semata-mata.
Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim, berkata pendekatan ini menunjukkan bahawa rakyat kini mengutamakan tindakan yang membawa hasil nyata dan mampu membezakan antara naratif dan realiti dalam politik.
“Rakyat Johor hari ini tidak lagi mahu politik kebencian atau perbalahan tanpa noktah. Mereka mahukan politik matang yang mengutamakan penyelesaian berbanding sensasi,” katanya.

Ujar beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, Johor bukan negeri asing dalam sejarah politik negara dan kini sejak diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, negeri ini membawa naratif kepimpinan muda yang berteraskan tindakan dan penyelesaian.
“Pendekatan kepimpinan muda bukan sekadar faktor usia, tetapi keberanian membuat keputusan dan kesediaan turun padang. Gaya pentadbiran yang lebih terbuka, responsif dan berorientasikan hasil memberi mesej jelas bahawa kerajaan negeri memahami denyut nadi rakyat.”
Katanya, dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, isu kos sara hidup dan peluang pekerjaan menjadi kebimbangan utama tetapi rakyat tidak menuntut perkara luar biasa kerana mereka hanya mahu kestabilan, peluang ekonomi dan pentadbiran yang cekap.
“Rakyat tidak menuntut perkara luar biasa, mereka hanya mahu kestabilan, peluang ekonomi dan pentadbiran yang cekap,” kata Norshida.
Justeru, ujarnya, fokus terhadap pelaburan, pembangunan infrastruktur dan penciptaan pekerjaan menjadi ukuran sebenar prestasi biarpun politik hari ini banyak dibentuk oleh persepsi media sosial.
“Namun rakyat Johor semakin bijak membezakan antara naratif dan realiti. Politik prestasi bermaksud keberhasilan yang boleh dirasai – sama ada melalui peluang pekerjaan baharu, projek pembangunan yang bergerak, atau sistem penyampaian yang lebih cekap.
“Konsep ‘Maju Johor’ yang digagaskan sebagai pendekatan inklusif juga memainkan peranan penting. Ia bukan sekadar slogan, tetapi budaya kerjasama yang menekankan kestabilan dan kesepakatan demi pembangunan negeri. Dalam konteks ini, kestabilan politik bukan hanya kelebihan ia keperluan.”
“Namun rakyat Johor semakin bijak membezakan antara naratif dan realiti. Politik prestasi bermaksud keberhasilan yang boleh dirasai – sama ada melalui peluang pekerjaan baharu, projek pembangunan yang bergerak, atau sistem penyampaian yang lebih cekap.
“Keyakinan pelabur banyak bergantung kepada kestabilan dan hala tuju yang jelas. Johor memperlihatkan kesungguhan dalam memperkukuh kedudukan sebagai pintu masuk ekonomi selatan tanah air. Hubungan strategik, pembangunan zon ekonomi dan pengukuhan sektor industri memberi gambaran bahawa negeri ini tidak sekadar bertahan, tetapi bergerak ke hadapan.”
Jelas beliau, apabila pelaburan meningkat, peluang pekerjaan terbuka dan apabila peluang bertambah, kesejahteraan rakyat diperkukuh.
“Inilah kitaran yang membuktikan bahawa politik prestasi membawa kesan langsung kepada kehidupan seharian rakyat,” katanya.
Dalam hal ini, Norshida menyatakan bahawa rakyat hari ini tidak lagi mahu politik kebencian atau perbalahan tanpa noktah sebaliknya mahukan politik matang yang mengutamakan penyelesaian berbanding sensasi iaitu meraikan perbezaan dan tetapi tetap bersatu dalam agenda pembangunan.
“Hakikatnya, rakyat mampu menilai siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang sekadar menampilkan persepsi bekerja. Dalam era keterbukaan maklumat, ketelusan dan konsistensi menjadi asas kepercayaan.
“Johor memilih politik prestasi kerana rakyatnya memilih masa depan. Kepimpinan mungkin silih berganti, namun prinsip bahawa hasil kerja lebih utama daripada retorik harus kekal menjadi budaya.
“Akhirnya, politik bukan tentang siapa paling kuat berbicara, tetapi siapa paling konsisten berkhidmat. Dalam memilih politik prestasi, Johor sedang menghantar mesej jelas bahawa pembangunan dan kesejahteraan rakyat adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi,” katanya lagi. – UMNO Online
