BN Perkukuh Kesepaduan, Rangka Strategi Hadapi Cabaran Politik – Dr Zambry
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) telah mengadakan satu pemukiman kepimpinan sebagai wadah memperkukuh kesepaduan, merangka langkah strategik ke hadapan serta menyatukan tekad seluruh parti komponen dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sesi perbincangan berlangsung secara terbuka dan penuh kejujuran, dengan seluruh pimpinan sebulat suara menegaskan komitmen untuk memelihara perpaduan, memperkukuh kesatuan dalaman serta memastikan BN terus relevan dalam landskap politik negara yang dinamik dan mencabar.

Ujarnya, pemukiman tersebut menghimpunkan pimpinan utama parti-parti komponen iaitu UMNO, MCA, MIC, PBRS dan PPP, termasuk Presiden Friends of BN yang mencerminkan semangat kebersamaan yang utuh dan kesungguhan bersama untuk terus menyuburkan kekuatan gabungan itu.
“Pemukiman ini membuktikan kesungguhan seluruh kepimpinan untuk memastikan Barisan Nasional terus relevan sebagai pilihan terbaik dalam landskap politik negara yang dinamik dan mencabar,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pimpinan BN turut bersepakat bahawa usaha konsolidasi politik mesti dilaksanakan secara tersusun, realistik dan berpaksikan perkembangan politik semasa, selain digerakkan dengan disiplin organisasi yang tinggi serta kepekaan terhadap aspirasi rakyat.
Jelasnya, pemukiman itu juga menzahirkan keprihatinan bersama terhadap keperluan memelihara keamanan dan kestabilan negara. BN berpendirian bahawa isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama hendaklah ditangani melalui pendekatan musyawarah, kesederhanaan dan kebijaksanaan politik, selaras dengan tradisi yang menjadi teras kekuatan gabungan tersebut.
“BN bersetuju bahawa segala persiapan dan kesiapsiagaan perlu diperkemas dari sekarang bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PRN Johor serta Pilihan Raya Umum akan datang.
“Pemukiman ini turut menekankan keperluan penjenamaan semula Barisan Nasional agar tampil lebih progresif dan inklusif, dengan meneruskan politik berimbang, moderat dan berasaskan musyawarah. Pembaharuan ini hendaklah selari dengan aspirasi rakyat masa kini tanpa meninggalkan asas perjuangan dan nilai teras gabungan.”
Dalam masa sama, Dr Zambry menjelaskan bahawa pimpinan BN dalam kerajaan akan terus menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab serta memainkan peranan konstruktif dalam memperkukuh kestabilan dan keberkesanan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
“Dengan penuh tawaduk dan keinsafan, Barisan Nasional komited untuk terus memperbaiki kelemahan lampau, memperkukuh saf kepimpinan serta menggembleng seluruh anggota ke arah masa depan yang lebih tersusun dan meyakinkan,” katanya lagi. – UMNO Online
