Johor Bakal Terima Pelaburan Baharu … Lebih Besar, Luar Biasa
KUALA LUMPUR, 1 Mac – Negeri Johor akan menerima pelaburan baharu yang lebih besar dan luar Biasa, maklum Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Onn Hafiz memaklumkan pemantapan dan penyelarasan hala tuju Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dijadikan sebagai kerangka strategik yang akan membentuk fasa pertumbuhan baharu Johor.

“Syukur Alhamdulillah, selepas merekodkan pelaburan tertinggi dalam negara bagi tahun 2025 dengan nilai RM91.1 bilion setakat September lalu, satu jumlah pelaburan baharu yang lebih besar dan lebih luar biasa bakal diumumkan dalam masa terdekat.
“Perbincangan saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han baru-baru ini memberi penekanan khusus kepada pemantapan dan penyelarasan hala tuju JS-SEZ sebagai kerangka strategik yang akan membentuk fasa pertumbuhan baharu Johor.
“Setiap perkembangan dinilai secara terperinci bagi memastikan manfaatnya benar-benar dirasai oleh rakyat,” katanya.
Tambahnya, perkara itu akan melonjakkan pelbagai inisiatif strategik yang bakal diperincikan untuk mempercepat kemasukan pelaburan bernilai tinggi.
“Johor kini berada pada fasa perubahan yang sangat penting. Dengan pengumuman Pelan Induk JS-SEZ oleh Menteri Ekonomi dalam masa terdekat, pelbagai inisiatif strategik akan diperincikan untuk mempercepat kemasukan pelaburan bernilai tinggi, memperkukuh penyertaan dalam rantaian bekalan global serta membina ekosistem industri masa hadapan yang lebih mampan.
“Namun seperti sering saya tekankan, kejayaan sebenar bukan terletak pada angka semata-mata, tetapi sejauh mana peluang yang terhasil dapat membuka ruang pekerjaan bergaji tinggi dan masa depan yang lebih cerah untuk Bangsa Johor.
“Sama-samalah kita nantikan pengumuman rasmi yang bakal dibuat dalam masa terdekat. Semoga setiap langkah yang diatur ini membawa manfaat lebih besar, membuka lebih banyak peluang dan memperkukuh masa depan Bangsa Johor menuju Maju Johor 2030. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
