Ihya Ramadan: Jalaluddin Santuni Warga PKD Jelebu

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias telah menyantuni warga Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam Majlis Ihya Ramadan dan berbuka puasa pada Jumaat.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berpandangan majlis tersebut menjadi simbolik penghargaan terhadap seluruh warga kerja kesihatan.

“Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk hadir ke Majlis Ihya’ Ramadan dan Berbuka Puasa anjuran PKD Jelebu.

“Majlis ini bukan sekadar tentang berbuka puasa, tetapi simbolik penghargaan kita kepada seluruh warga kerja kesihatan yang tidak kenal penat lelah menjaga kesejahteraan komuniti di daerah Jelebu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar setiap khidmat bakti yang dicurahkan oleh warga PKD Jelebu diberkati Allah SWT.

“Dalam kesibukan tugas hakiki, usaha menghidupkan roh Ramadan melalui program sebegini amatlah terpuji untuk memperkukuh ukhuwah dan integriti dalam kalangan kakitangan.

“Terima kasih kepada Doktor Pegawai Kesihatan Daerah dan seluruh jawatankuasa atas jemputan.

“Semoga setiap khidmat bakti yang dicurahkan oleh warga PKD Jelebu diberkati Allah SWT, lebih-lebih lagi di bulan yang penuh barakah ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO