Ramadan: Menginsafi Diri, Menyatukan Hati – Haslinda

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Kehadiran bulan Ramadan yang penuh keberkatan wajar dijadikan medan untuk memperkukuh perpaduan dan menyemai nilai kasih sayang dalam masyarakat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labis, Haslinda Salleh.

Menerusi satu kenyataan di Facebooknya selepas Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana anjuran Wanita UMNO Malaysia, beliau memaklumkan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, sebaliknya ruang terbaik untuk setiap individu bermuhasabah serta memperbaiki hubungan sesama insan tanpa mengira latar belakang.

“Bulan Ramadan yang mulia inilah yang mendidik jiwa agar lebih tunduk kepada Tuhan, lebih lembut terhadap sesama manusia serta lebih peka terhadap tanggungjawab yang dipikul.

“Dalam keghairahan kita berpolitik dan berbeza pandangan, jangan sesekali kita lupa kepada mereka yang memerlukan. Masih ramai saudara kita yang bergelut dengan kos sara hidup, diuji dengan kesihatan dan terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi. Mereka inilah yang wajib kita dahulukan.

“Ramadan mengajar kita bahawa perjuangan sebenar bukan sekadar laungan slogan atau retorik pentas, tetapi usaha yang konsisten dan tindakan yang ikhlas. Politik seharusnya menjadi jambatan untuk membantu rakyat, bukan tembok yang memisahkan masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut Haslinda yang juga Exco Wanita UMNO menegaskan bahawa UMNO kekal komited bekerja untuk rakyat tanpa mengira kaum dan agama, dengan prinsip perjuangan yang jelas iaitu mengutamakan kestabilan, pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Kita percaya bahawa kekuatan sesebuah negara terletak pada perpaduan rakyatnya. Jangan kita lupa untuk sentiasa menjaga perpaduan kaum. Malaysia dibina atas kepelbagaian yang menjadi kekuatan, bukan kelemahan. Hormatilah antara satu sama lain, jagalah tutur kata dan bertindaklah secara berhemah dalam setiap keadaan.

“Perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi satu tanggungjawab bersama. Jika kita bersatu hati, saling menghormati dan sentiasa mengutamakan rakyat, negara akan terus aman, stabil dan makmur,” katanya lagi.

Beliau juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis menambah, kekuatan negara terletak pada perpaduan rakyatnya dan Malaysia dibina atas kepelbagaian yang menjadi kekuatan, bukan kelemahan.

“Justeru, elakkan provokasi, jauhi politik kebencian dan hindari sikap melampau. Dalam bulan penuh rahmat ini, marilah kita memimpin dengan hikmah, berkhidmat dengan amanah dan bersuara dengan adab,” ujarnya.

Beliau berharap Ramadan kali ini menjadi titik muhasabah untuk seluruh rakyat memperbaiki diri, memperkukuh perpaduan dan memperteguhkan tekad untuk terus berbakti demi agama, bangsa dan tanah air tercinta. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO