Pijak Al-Quran: Tiada Kompromi, Mohd Asna Gesa PDRM Bertindak Tegas
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin menggesa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) agar mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didakwa bertindak memijak al-Quran dalam satu kejadian yang tular baru-baru ini.
Tegasnya, perbuatan tersebut bukan sahaja mencetuskan kemarahan umat Islam malah disifatkan sebagai penghinaan besar terhadap institusi Raja-raja Melayu selaku Ketua Agama Islam di negara ini.
“Saya menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit, perbuatan tersebut bukan sahaja memijak al-Quran malah telah menghina institusi Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negara ini.
“Perbuatan memijak al-Quran adalah perbuatan melampau dan biadap! Perlu dipastikan individu ini didakwa dan menerima hukuman yang lebih berat. Tiada kompromi! Lebih mengecewakan perbuatan tersebut dilakukan ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berkata, perbuatan itu amat membimbangkan kerana ia menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang sensitif serta berpotensi mengundang persengketaan perkauman.
“Tujuan individu terbabit memaparkan gambar memijak al-Quran amat membimbangkan kerana ia boleh mewujudkan persengketaan perkauman di negara ini dan telah melanggar isu 3R yang serius hingga menyakiti perasaan umat Islam di negara ini.
“Walaupun dia rakyat Malaysia kerana sakit hati dia sanggup hina al-Quran dan umat Islam.
“Saya pasti perbuatan individu tersebut tidak mewakili mana-mana kaum bukan Islam di negara ini kerana tiada manusia waras yang akan melakukan perkara sekeji itu. Jika isu sensitif dipertikai secara keterlaluan kesannya sangat dahsyat dan apabila kita bertindak dengan semangat marah kesannya sangatlah buruk,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Mohd Asna menekankan bahawa keharmonian masyarakat berbilang kaum yang dinikmati hari ini adalah hasil kepimpinan dan kebijaksanaan kerajaan terdahulu dalam mengurus kepelbagaian agama serta kepercayaan.
“Realiti keharmonian masyarakat berbilang kaum bertamadun tinggi berjaya dibentuk hasil kepimpinan kerajaan terdahulu.
“Malaysia adalah bukti kita hidup dalam kepelbagaian agama dan kepercayaan tetapi masih dapat berkumpul bersama-sama dan hidup dalam perpaduan dalam satu negara,” ujarnya.
Terdahulu, aksi memijak al-Quran dimuat naik melalui akaun Threads ryandaselva, mencetuskan kecaman meluas.
Polis mengesahkan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang dikaitkan dengan insiden tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan. – UMNO Online
