Mohd Rafi Santuni Jemaah Ramadan, Sumbang Pendingin Hawa Kepada Surau An-Najjah

LABUAN, 27 Feb – Sempena kehadiran bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, telah menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan dua unit pendingin hawa kepada Surau An-Najjah dalam satu program kebajikan yang berlangsung baru-baru ini.

Ujarnya yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Sumbangan tersebut disampaikan sebagai usaha meningkatkan keselesaan para jemaah sepanjang bulan Ramadan, khususnya ketika menunaikan solat tarawih, tadarus al-Quran serta pelbagai aktiviti keagamaan yang diimarahkan di surau berkenaan.

Menurut Mohd Rafi, Ramadan adalah bulan terbaik untuk memperkukuh ukhuwah dan memperbanyakkan amalan kebajikan.

“Semoga sumbangan ini dapat memberi keselesaan kepada jemaah sepanjang Ramadan, sekali gus menyemarakkan lagi semangat beribadah dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen berterusan UMNO dalam mendekati masyarakat melalui pendekatan kebajikan dan khidmat bakti tanpa mengira masa, lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri barisan kepimpinan tempatan dan ahli jawatankuasa surau, sebelum diakhiri dengan sesi ramah mesra bersama jemaah serta lawatan ke ruang solat bagi melihat lokasi pemasangan penghawa dingin yang disumbangkan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO