Keperluan Rancang, Laksana Sistem Ketahanan Banjir Di Beaufort Amat Mendesak

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berpandangan bahawa keperluan untuk merancang dan melaksanakan sistem ketahanan banjir di Beaufort adalah amat mendesak pada ketika ini.

Ujarnya, kejadian yang berulang tersebut turut membuktikan bahawa isu banjir di Beaufort bersifat struktur dan memerlukan penyelesaian jangka panjang.

“Di bawah peruntukan kumpulan wang pembangunan, saya ingin menyentuh sedikit perihal pembangunan di Beaufort yang telah banyak musnah akibat banjir berterusan.

“Saya ingin menegaskan bahawa keperluan merancang dan melaksanakan sistem ketahanan banjir secara menyeluruh di Parlimen Beaufort bukan lagi pilihan, tetapi suatu keutamaan yang mendesak.

“Kelmarin sahaja saya dimaklumkan bahawa Beaufort sekali lagi dilanda banjir, menjejaskan kediaman, sekolah, jalan perhubungan serta sumber pendapatan rakyat. Kejadian berulang ini membuktikan bahawa isu banjir di Beaufort bukan lagi bermusim, sebaliknya bersifat struktur dan memerlukan penyelesaian jangka panjang,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

Ujarnya, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek tebatan banjir yang komprehensif kerana rakyat Beaufort tidak boleh terus dibiarkan menanggung kerugian.

“Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek tebatan banjir yang komprehensif, penaiktarafan sistem saliran serta pembinaan infrastruktur kawalan air yang benar-benar berdaya tahan terhadap perubahan iklim. Rakyat Beaufort tidak boleh terus dibiarkan menanggung kerugian dan penderitaan yang sama saban tahun tanpa penyelesaian tuntas.

“Kita di Dewan yang mulia ini membahaskan peruntukan berbilion ringgit dengan penuh yakin. Namun di Beaufort, hampir setiap bulan rakyat terpaksa beratur memohon bantuan bencana, seolah-olah bergantung kepada simpati untuk meneruskan kehidupan selepas air surut.

“Jika kitaran ini terus berulang, sampai bila rakyat Beaufort harus hidup dalam keadaan reaktif, menunggu bantuan selepas musibah? Di manakah maruah kami sebagai warganegara yang berhak kepada perlindungan, perancangan dan pembangunan yang bermaruah.

“Saya berharap tindakan segera dan tuntas dilaksanakan demi kebajikan serta maruah rakyat Beaufort,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO