Wan Rosdy Rakam Takziah Lima Sekeluarga Terkorban Dalam Kebakaran Di Kampung Pamah Kulat
RAUB, 26 Feb – Satu tragedi menyayat hati berlaku pada awal pagi tadi apabila sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, di sini musnah dalam kebakaran yang mengorbankan lima sekeluarga.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melahirkan rasa amat dukacita atas kejadian tersebut dan menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa.

“Saya menerima perkhabaran yang amat mendukacitakan pagi ini mengenai tragedi kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub, yang mengorbankan lima sekeluarga pada awal pagi tadi. Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kehilangan yang amat besar ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mendoakan agar roh kesemua mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Saya juga mendoakan agar ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan mereka,” katanya lagi. – UMNO Online
