Tindakan Berlandaskan Undang-Undang, Kerajaan Tegas Tangani Unsur Hasutan – Shamsul Anuar
KUALA LUMPUR, 26 Feb – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited dalam memelihara ketenteraman awam dan kedaulatan undang-undang tanpa berniat menyekat kebebasan bersuara rakyat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebarang tindakan, siasatan mahupun tangkapan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa adalah berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tetap dihormati selagi mana ia tidak melangkaui batas sehingga menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Kerajaan tidak berniat untuk menyekat kebebasan bersuara. Namun, tindakan akan diambil sekiranya wujud elemen yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan kestabilan negara,” katanya ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat.
Mengulas statistik penguatkuasaan di bawah Akta Hasutan 1948, beliau memaklumkan bahawa bagi tahun 2024, sebanyak 96 kertas siasatan telah dibuka dengan 11 pertuduhan dan 32 tangkapan direkodkan.
Manakala bagi tahun 2025, jumlah kertas siasatan adalah 97, dengan tiga pertuduhan dan 58 tangkapan. Secara keseluruhan bagi tempoh dua tahun tersebut, sebanyak 193 kes direkodkan dengan 14 pertuduhan dan 90 tangkapan.
Shamsul Anuar, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, menjelaskan bahawa peningkatan jumlah tangkapan pada tahun 2025 berbanding tahun sebelumnya dipengaruhi oleh ketegasan PDRM dalam menangani penyebaran kandungan sensitif yang melibatkan elemen agama, Raja dan kaum atau dikenali sebagai ‘3R’.
“Tindakan pantas kini diambil untuk mengekang naratif yang boleh mencetuskan ketegangan kaum atau penghinaan terhadap institusi di-Raja sebelum ia menular secara lebih ekstrem.
“Walaupun peningkatan jumlah kertas siasatan adalah kecil, peningkatan tangkapan adalah ketara berikutan penglibatan kumpulan atau individu yang bertindak secara kolektif dalam menyebarkan kandungan berunsur hasutan.
“Penurunan jumlah pertuduhan menunjukkan kerajaan berhati-hati dalam meneruskan pendakwaan. Setiap kes akan dinilai secara teliti oleh Pejabat Peguam Negara untuk memastikan hanya kes yang mempunyai bukti kukuh dibawa ke mahkamah, manakala selebihnya diselesaikan melalui kaedah amaran atau pemantauan berterusan.
“Peningkatan tangkapan ini memberi isyarat jelas bahawa kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk memfitnah atau menghasut. Kerajaan sentiasa mengimbangi antara hak asasi individu dengan keperluan menjaga keselamatan nasional,” katanya lagi.
Justeru, katanya, dalam apa jua keadaan, kedaulatan undang-undang, hak rakyat dan kepentingan negara akan terus diberikan keutamaan. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
