PTPTN Lancar IMRAN 2026, Perkukuh Budaya Prihatin Dan Kebersamaan – Norliza

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan komitmennya dalam menyantuni komuniti pendidikan menerusi peluncuran Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) Tahun 2026 yang berlangsung di Politeknik Banting, baru-baru ini.

Majlis peluncuran telah disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, yang menzahirkan rasa syukur atas kesinambungan program tahunan itu yang kini dilaksanakan dalam skala lebih besar berbanding tahun sebelumnya.

Menurut beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO, penganjuran IMRAN 2026 yang bermula 24 Februari hingga 13 Mac ini akan menjelajah ke lima zon melibatkan tujuh lokasi di seluruh negara, sebagai usaha memperluas manfaat kepada lebih ramai warga institusi pendidikan dan komuniti setempat.

“Program IMRAN bukan sekadar aktiviti tahunan sempena Ramadan, sebaliknya merupakan manifestasi keprihatinan PTPTN dalam berkongsi rezeki dan menyemai nilai kebersamaan. Kami mahu memastikan kehadiran PTPTN bukan hanya dirasai melalui fungsi pembiayaan pendidikan, tetapi juga melalui pendekatan menyantuni dan mendekati komuniti,” katanya.

Tambah beliau, program itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara PTPTN dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), di samping memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga kampus.

“Semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh kakitangan politeknik, Majlis Perwakilan Pelajar dan kakitangan PTPTN dalam menyediakan juadah berbuka puasa jelas mencerminkan nilai ukhuwah dan solidariti yang menjadi teras Ramadan,” ujar beliau lagi.

Dalam majlis sama, PTPTN turut menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada tiga pelajar kurang berkemampuan yang menerima bantuan one-off sebanyak RM500 setiap seorang.

Selain itu, sebanyak 20 Kit Kasih PTPTN berbentuk kotak makanan diagihkan kepada kakitangan politeknik yang memerlukan bagi membantu meringankan perbelanjaan harian sepanjang bulan Ramadan.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, pengurusan tertinggi PTPTN, wakil Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta warga Politeknik Banting.

Jelas Norliza lagi, melalui IMRAN 2026, PTPTN berharap usaha berterusan ini dapat memperkukuh persepsi positif masyarakat terhadap peranannya serta terus mengimarahkan Ramadan dengan semangat bantu-membantu dan kasih sayang dalam komuniti pendidikan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO