Perkukuh Audit, Tingkat Kerjasama Rentas Agensi Tangani Ketirisan Minyak Masak Bersubsidi – Mohd Puzi
KUALA LUMPUR, 26 Feb – Ahli Parlimen Pekan, Sh Mohmed Puzi Sh Ali mencadangkan agar kerajaan memperkukuh pelaksanaan audit penguatkuasaan secara berjadual dan meningkatkan kerjasama rentas agensi bagi membanteras ketirisan minyak masak bersubsidi.
Menurut beliau, tambahan peruntukan sebanyak RM993.9 juta di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup adalah untuk menampung keperluan subsidi Program Penstabilan Harga Minyak Masak demi memastikan golongan sasar, terus menikmati manfaatnya.

“Pada tahun 2025, ambang harga RBD Palm Olein ditetapkan pada RM2,300 per metrik tan, namun harga pasaran telah meningkat sehingga RM4,524 per metrik tan, sekali gus memberi tekanan kepada peruntukan subsidi kerajaan.
“Langkah kerajaan menangani ketirisan melalui pembangunan program atau aplikasi Skim Penstabilan Harga Minyak Masak untuk mengawal dan memantau rantaian bekalan menunjukkan kejayaan, khususnya dalam mengekang pembelian oleh warga asing dan penyeludupan ke negara jiran.
“Bagaimanapun, masih terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian, termasuk penyalahgunaan oleh peniaga yang membeli dalam kuantiti besar dan pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam botol dan tong industri untuk dijual pada harga lebih tinggi,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Tambahnya, penggunaan aplikasi e-COSS turut menimbulkan cabaran kepada golongan warga emas, penduduk luar bandar dan individu yang tidak mempunyai telefon pintar atau kurang celik IT.
“Pembelian secara manual melalui buku log juga didapati melambatkan proses, malah terdapat premis yang enggan menggunakannya.
“Sehubungan itu, Pekan ingin mencadangkan agar audit penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih kerap dan menyeluruh dengan turun padang ke kilang pembungkusan, pemborong serta peruncit, khususnya di kawasan panas yang sering mengalami ketirisan.
“Kerjasama rentas agensi perlu diperkukuh, melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk membanteras kegiatan penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran.
“Pendekatan bersepadu amat penting bagi memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang layak serta mengelakkan ketirisan yang merugikan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
