Konflik Amerika-Iran: Berlaku Rundingan Susulan, Wujud Persefahaman Teruskan Dialog

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan telah berlaku rundingan susulan di Geneva pada pagi ini berkenaan konflik di antara Amerika Syarikat dan Iran, menunjukkan sedikit persefahaman untuk meneruskan dialog.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, ketegangan tersebut berpunca daripada arahan pihak Amerika supaya Iran tidak membangunkan senjata nuklear.

“Berkenaan situasi tegang yang wujud di antara Amerika dan juga Iran, ia berpunca daripada arahan pihak Amerika serta sekutunya agar Iran tidak mewujudkan senjata nuklear. Baru-baru ini, telah diadakan demonstrasi besar-besaran sehingga berpuluh buah masjid dibakar dan menyebabkan kehilangan banyak nyawa. Selain itu, banyak campur tangan pihak luar.

“Pihak Amerika nampaknya telah pun menambah kekuatan angkatan tentera mereka di Teluk Parsi. Baru-baru ini telah dikerahkan lagi satu kapal pengangkut kapal terbang USS Gerald R. Ford, yang beroperasi di Mediterranean.

“Ini jelas menunjukkan bahawa pihak Amerika memang serius dengan apa yang mereka nyatakan supaya Iran menggugurkan dan juga membatalkan segala hasrat untuk membolehkan mereka mempunyai keupayaan untuk mewujudkan senjata nuklear,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab di Parlimen, memberi respons kepada soalan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor yang meminta penilaian Wisma Putra tentang kemungkinan berlakunya konflik bersenjata antara Iran dan Amerika Syarikat serta implikasinya terhadap keselamatan serantau.

Menurutnya, rundingan telah berlangsung di Oman dan ia dilihat berjaya mencapai tahap kesefahaman untuk diteruskan.

“Rundingan telah berlangsung di Oman yang berperanan sebagai mediator dan fasilitator. Saya sendiri telah bersama dengan Menteri Luar Oman ketika berada di Washington baru-baru ini dan meminta beliau menggunakan segala kebijaksanaan untuk memujuk kedua-dua pihak agar ‘stand down’, supaya tidak berlaku sebarang tindakan yang boleh mencetuskan peperangan atau serangan terhadap Iran.

“Perundingan di Oman tersebut nampaknya berjaya mencapai tahap kesefahaman untuk diteruskan. Susulan itu, sambungan rundingan telah diadakan di Geneva pada pagi ini. Ini menunjukkan terdapat sedikit persefahaman untuk meneruskan dialog antara Amerika dan Iran,” katanya lagi.

Tambahnya, sekiranya peperangan tercetus antara kedua-dua negara, impaknya amat besar bukan sahaja kepada Iran dan rantau Asia Barat, malah kepada dunia keseluruhannya termasuk Malaysia.

“Jika konflik berlaku, sekatan mungkin dikenakan, Laut Parsi dan Selat Hormuz berkemungkinan ditutup, sekaligus menjejaskan laluan utama perdagangan tenaga dunia.

“Penutupan laluan tersebut akan menyebabkan bekalan minyak dan gas global berkurangan, sekaligus mendorong kenaikan harga komoditi tenaga. Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kesan secara langsung dan tidak langsung.

“Perdagangan dan ekonomi dunia akan terjejas. Pengeluaran dan pengedaran barangan akan terganggu, termasuk bahan makanan serta bahan galian, seperti yang berlaku ketika konflik Ukraine–Rusia, menjejaskan bekalan global dan meningkatkan harga barang.

“Tambahan pula, Iran merupakan antara pengeluar minyak terbesar dunia. Sebarang gangguan terhadap pengeluarannya akan menyebabkan harga komoditi meningkat dan seterusnya memberi tekanan kepada ekonomi global serta Malaysia,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar ketegangan ini dapat dikurangkan supaya dunia dan ekonomi global tidak terjejas serta dapat berjalan dengan stabil seperti biasa.

“Berdasarkan laporan perwakilan Malaysia di rantau berkenaan, maklumat rakan-rakan diplomatik serta penilaian badan antarabangsa, kebimbangan utama ialah kemungkinan berlakunya ‘miscalculation’ yang boleh mencetuskan peperangan.

“Amerika dilihat serius dengan penambahan kekuatan ketenteraan di kawasan tersebut. Justeru, kita berharap kedua-dua pihak terus memilih jalan diplomasi dan menyelesaikan perbezaan melalui meja rundingan.

“Harapan kita agar ketegangan ini dapat dikurangkan supaya dunia dan ekonomi global tidak terjejas serta dapat terus berjalan dengan stabil seperti biasa,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO