KKR Fokus Pastikan Pan Borneo Disiapkan Mengikut Jadual, Spesifikasi
KUALA LUMPUR, 26 Feb – Fokus utama Kementerian Kerja Raya (KKR) pada ketika ini adalah untuk memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan Fasa 1B dapat disiapkan mengikut jadual serta spesifikasi yang ditetapkan kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Memberi respons kepada Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, beliau berkata, Jalan Tamparuli – Ranau masih mampu menampung aliran trafik sedia ada.

“Semakan terhadap data terkini tahun 2024 daripada stesen bancian lalu lintas di laluan berkenaan mendapati Tahap Perkhidmatan Jalan (Level of Service, LOS) di Laluan Persekutuan 22 (Stesen Banci HR207) berada pada tahap LOS A di mana laluan tersebut masih mampu menampung aliran trafik sedia ada.
“Kementerian Kerja Raya telah menerbitkan Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya atau Highway Network Development Plan 2040 (HNDP 2040) merangkumi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang bertujuan untuk mengenal pasti keperluan menaik taraf jalan sedia ada atau membina jalan baharu yang melibatkan jalan persekutuan dan jalan utama negeri.
“Kajian HNDP juga merangkumi pelbagai aspek kajian seperti isi padu trafik, guna tanah, ekonomi, alam sekitar dan sosio-ekonomi bagi mewujudkan rangkaian jalan raya yang lebih efisien melibatkan negeri dan wilayah-wilayah yang berkaitan. Pelaksanaan cadangan projek yang dikenal pasti dalam HNDP ini dijangka akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mewujudkan rangkaian jalan raya yang lebih efisien.
“Hasil semakan Kementerian ini mendapati tiada cadangan projek di dalam HNDP 2040 bagi menaiktaraf Laluan Persekutuan 22,” katanya ketika sesi soal jawab di Parlimen, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, terdapat perancangan projek jajaran alternatif Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 termasuk menaiktaraf Jalan Kiulu – Pahu (Tamparuli), 4 Lorong Dengan Reka Bentuk R4 dengan panjang jajaran 24.8 kilometer (km).
“Selain itu, menaik taraf Jalan Pahu – Randagong (Ranau), 2 Lorong dengan Reka Bentuk R4 dengan panjang 21.66 km dan Jalan Pahu – Tamparuli (Tamparuli), 4 Lorong dengan Reka Bentuk R4 dengan panjang 15.72 km.
“Oleh yang demikian, fokus utama Kementerian pada masa ini adalah untuk memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan Fasa 1B yang melibatkan pembinaan infrastruktur jalan raya sepanjang 706 kilometer merangkumi 35 pakej kerja ini dapat disiapkan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Madani telah memberikan kelulusan bagi projek Pembaikan Cerun Di KM55.30, Jalan Kota Kinabalu-Sandakan sebanyak RM8.8 juta.
“Oleh yang demikian, fokus utama Kementerian pada masa ini adalah untuk memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan Fasa 1B yang melibatkan pembinaan infrastruktur jalan raya sepanjang 706 kilometer merangkumi 35 pakej kerja ini dapat disiapkan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.
“Selain itu di Laluan Persekutuan 22, Kerajaan Madani telah memberikan kelulusan bagi projek Pembaikan Cerun Di KM55.30, Jalan Kota Kinabalu-Sandakan (Laluan Persekutuan 22), Tuaran, sebanyak RM8.8 juta pada Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke Tiga Belas.
“Kementerian ini berharap penyiapan projek-projek ini akan meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan serta kelancaran aliran trafik di kawasan yang terlibat. Kementerian akan terus komited dalam memastikan pembangunan infrastruktur jalan raya dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
