Kerajaan Perketat Tindakan Berasaskan Data Banteras Ancaman Dadah – Ahmad Zahid
PUTRAJAYA, 26 Feb — Kerajaan akan memperketat tindakan berasaskan data dalam usaha membanteras ancaman dadah yang disifatkan semakin serius dan kompleks, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, ancaman dadah kini menunjukkan corak pengedaran dan penyalahgunaan yang lebih tersusun serta merentas sempadan, sekali gus memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan bersepadu.

Ujarnya, sepanjang tahun 2025, nilai rampasan dadah dan bahan racun direkodkan mencecah RM3.19 bilion, meningkat ketara berbanding tahun sebelumnya dengan rampasan tersebut melibatkan 89 tan dadah dan 132 tan bahan racun, mencerminkan skala besar ancaman yang sedang dihadapi negara.
“Angka ini mencerminkan skala ancaman yang sedang dihadapi negara. Laporan terkini turut merekodkan seramai 191,832 individu terlibat, membuktikan bahawa isu dadah bukan lagi semata-mata isu jenayah, tetapi telah menjadi cabaran besar terhadap keamanan dan kemakmuran negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) bagi memperkukuh penyelarasan dasar dan tindakan secara menyeluruh merentas kementerian serta agensi penguatkuasaan, semalam.
Beliau menegaskan bahawa tindakan memerangi dadah perlu dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berimpak tinggi serta tidak lagi boleh ditangani secara bersendirian atau berasingan.
“Pendekatan whole-of-government dan whole-of-society mesti diterjemahkan kepada tindakan konkrit dan boleh diukur. Perjuangan memerangi dadah bukan tanggungjawab satu pihak sahaja tetapi memerlukan komitmen bersama keluarga, komuniti, institusi pendidikan dan sektor swasta,” katanya.
Kerajaan, tegas beliau, akan terus bertindak tanpa kompromi bagi memastikan keselamatan rakyat serta melindungi masa depan generasi Malaysia. – UMNO Online
