Fadzli Luah Rasa Pilu Susulan Tragedi Lima Sekeluarga Maut Dalam Kebakaran

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri Dong, Fadzli Mohamad Kamal melahirkan rasa pilu dan sedih susulan tragedi kebakaran yang mengorbankan lima sekeluarga di sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, awal pagi tadi.

Beliau yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang berkata, khabar duka itu amat menyentuh perasaan lebih-lebih lagi apabila beliau sempat bertemu dengan salah seorang mangsa, Allahyarham Mohd Alawi pada hari pertama Ramadan.

“Innalillahiwainnalillahirajiun. Pilu dan sedih pagi ini setelah mendapat perkhabaran lima orang sekeluarga terkorban dalam satu kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, awal pagi tadi.

“Saya terus ke tempat kejadian sesudah subuh tadi bagi melihat sendiri situasi sebenar.
Kemalangan ini dipercayai mengorbankan Allahyarham Mohd Alawi bersama isteri dan tiga lagi anak perempuannya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau dua lagi anak Allahyarham, iaitu Ahmad Balia Murqam yang sedang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Dong dan Ruby Adalia Balqis yang merupakan pelajar Kolej Matrikulasi Pahang di Gambang, tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku.

Beliau turut mendoakan ahli keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar ahli keluarga arwah dikurniakan kekuatan dan ketabahan oleh Allah SWT untuk menempuhi ujian yang cukup besar ini,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata kebakaran berkenaan telah memusnahkan 100 peratus struktur rumah selain turut melibatkan tiga kereta dan tiga motosikal yang turut terbakar. UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO