Dr Asyraf Terkesan Tragedi Pelajar MRSM Bersama Keluarga Maut Dalam Kebakaran
KUALA LUMPUR, 26 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa dukacita yang mendalam susulan tragedi kebakaran yang meragut lima nyawa sekeluarga di Kampung Pamah Kulat, Raub awal pagi tadi.
Beliau yang juga Pengerusi MARA, insiden itu amat menyentuh hati, terutamanya kerana mangsa Allahyarhamah Ruby Adira Batreisya Mohd Alawi merupakan pelajar MRSM Bentong yang sedang menunggu keputusan SPM.
“Saya amat terkesan dan cukup dukacita atas insiden yang berlaku awal pagi tadi melibatkan seluruh keluarga Allahyarhamah Ruby Adira Batreisya Mohd Alawi, pelajar MRSM Bentong yang sedang menunggu keputusan SPM, terkorban dalam satu tragedi kebakaran dahsyat di Raub.
“MARA amat berdukacita atas insiden yang menyayat hati ini. InsyaAllah, pihak MARA akan menghulurkan bantuan sewajarnya serta memastikan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan terus diberi perhatian dan sokongan yang diperlukan dalam tempoh sukar ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dr Asyraf berkata lebih menyentuh hati, kakak kepada Allahyarhamah Ruby terselamat kerana sedang menuntut di matrikulasi, manakala adik tidak berada di rumah kerana menetap di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Dong.
“Pastinya ujian ini terlalu berat untuk dipikul, kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi melibatkan hampir seluruh ahli keluarga.
“Insiden sekitar jam 3.44 pagi itu melibatkan kebakaran sebuah rumah yang akhirnya meragut lima nyawa sekeluarga termasuk kedua ibu bapa pelajar.
“Kebakaran tersebut memusnahkan 100 peratus struktur rumah, selain turut membabitkan tiga buah kereta dan tiga motosikal yang hangus terbakar dalam kejadian tragis itu,” ujar beliau.
Dalam pada itu beliau turut mendoakan Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mangsa dan berharap keluarga Allahyarham bertabah dengan ujian yang melanda.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka semua dan menempatkan mereka dalam kalangan hamba-Nya yang beriman. Semoga kakak dan adik yang ditinggalkan dikurniakan kekuatan luar biasa, ketabahan serta perlindungan daripada Allah SWT dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Lima sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di sini pada awal pagi tadi. Dalam kejadian itu, mangsa yang maut membabitkan pasangan suami isteri serta tiga anak mereka.
Ketua Polis Daerah Raub Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar 3.35 pagi. – UMNO Online
