UMNO Sabah 35 Tahun, Yakub Khan Seru Terus Perkukuh Parti
KOTA KINABALU, 25 Feb – UMNO Sabah menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-35 tahun ini, menandakan perjalanan panjang sejak ditubuhkan pada 1991.
Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan, menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada seluruh barisan kepimpinan serta warga UMNO di negeri ini atas komitmen dan kesetiaan yang berterusan.

Beliau berkata, sepanjang 35 tahun penubuhannya, UMNO Sabah telah melalui pelbagai cabaran dan pengalaman politik yang mematangkan perjuangan parti dalam membela nasib rakyat serta memperkukuh kestabilan politik negeri.
“Ulang tahun ini bukan sekadar simbol angka, tetapi lambang keteguhan semangat, kesatuan dan iltizam seluruh ahli parti dalam meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru seluruh ahli UMNO, khususnya di Bahagian Sepanggar, agar terus memperkukuh perpaduan dan bekerjasama bagi memastikan parti kekal relevan serta diyakini rakyat.
Beliau yakin dengan kesatuan dan semangat berpasukan, UMNO Sabah mampu terus memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. – UMNO Online
