UMNO Sabah 35 Tahun, Lambang Perjuangan Dan Kesetiaan – Noraini Idris

KUALA LUMPUR, 25 Feb – UMNO Sabah menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-35, satu detik bersejarah yang melambangkan perjuangan, kesetiaan dan pengorbanan yang tidak pernah luntur demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Dalam kenyataan sempena ulang tahun tersebut, Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris menegaskan bahawa 35 tahun bukan sekadar satu angka, sebaliknya mencerminkan perjalanan panjang sebuah perjuangan yang sarat dengan komitmen dan iltizam berterusan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, UMNO Sabah terus berdiri teguh dalam mempertahankan prinsip perjuangan parti serta memastikan suara rakyat sentiasa diberi perhatian.

“35 tahun bukan sekadar angka, tetapi lambang perjuangan, kesetiaan dan pengorbanan yang tidak pernah luntur demi agama, bangsa dan tanah air tercinta. Semangat kesetiaan dan pengorbanan yang menjadi teras perjuangan akan terus dipertahankan dan diperkukuh dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut beliau lagi, Wanita UMNO Sabah akan terus memainkan peranan sebagai tulang belakang perjuangan parti dengan memperkasa suara wanita, menyantuni rakyat serta mempertahankan maruah parti di setiap peringkat kepimpinan dan organisasi.

“Wanita UMNO Sabah akan terus berdiri teguh sebagai tulang belakang perjuangan, memperkasa suara wanita, menyantuni rakyat dan mempertahankan maruah parti di setiap peringkat,” katanya.

Tambah beliau, ulang tahun ke-35 ini diharapkan menjadi pemangkin semangat untuk seluruh kepimpinan dan ahli parti.

“Semoga ulang tahun ini menjadi pemangkin semangat untuk kita terus Bersatu, Bersedia dan Berkhidmat demi masa depan Sabah yang lebih gemilang,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO