Malaysia Kekal Komited Rundingan Sempadan Secara Aman Dan Berprinsip – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 25 Feb – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan kerajaan kekal komited dalam menangani isu penetapan sempadan darat, maritim dan udara negara melalui pendekatan yang aman, berprinsip serta berteraskan undang-undang antarabangsa.
Ketika menjawab soalan dalam sesi sidang Dewan Negara semalam, beliau berkata proses memuktamadkan sempadan lazimnya mengambil tempoh masa yang panjang kerana melibatkan aspek teknikal serta penelitian mendalam terhadap instrumen perundangan dan dokumen rujukan berkaitan.
“Kerajaan kekal komited untuk menangani isu penetapan dalam memuktamadkan sempadan darat, maritim dan udara melalui pendekatan yang aman, berprinsip dan berteraskan undang-undang antarabangsa.
“Proses ini lazimnya mengambil tempoh masa yang lama kerana ia melibatkan aspek teknikal dan penelitian terhadap instrumen perundangan dan dokumen rujukan berkaitan. Pada masa yang sama, pertimbangan diplomatik turut diberi keutamaan bagi memastikan hubungan baik, saling menghormati kedaulatan serta kestabilan serantau terus terpelihara,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menjelaskan Kementerian Luar Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian, agensi berkaitan serta kerajaan negeri melalui pendekatan menyeluruh kerajaan dalam melaksanakan rundingan dengan negara jiran.
“Kita menggunakan pendekatan ‘whole of government’ bagi melaksanakan rundingan dengan negara jiran untuk mencari penyelesaian yang dapat dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Mengulas hubungan dengan Filipina, Mohamad menegaskan Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan negara itu ke atas Sabah.
“Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan Filipina ke atas Sabah. Sabah adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.
Ujarnya, perkara itu berasaskan pengiktirafan antarabangsa serta fakta sejarah, termasuk laporan Suruhanjaya Cobbold bertarikh 1 Ogos 1962 yang menyatakan lebih dua pertiga rakyat Sabah ketika itu memilih menyertai Malaysia pada 1963. Pada 14 September 1963, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut melaporkan kepada Perhimpunan Agung bahawa rakyat Sabah bersetuju dengan penyertaan tersebut.
Mengenai Indonesia, beliau menjelaskan penandaan dan pengukuran sempadan dilaksanakan berdasarkan tiga perjanjian yang dimeterai antara kerajaan British dan Belanda pada 1891, 1915 dan 1928.
“Proses penandaan ini tidak berdasarkan konsep ‘untung atau rugi’. Apa yang kita lakukan adalah mengukur di lapangan mengikut konvensyen dan perjanjian sedia ada. Ia merupakan satu proses teknikal bagi mengabsahkan kedaulatan wilayah mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Katanya, semasa Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama Indonesia-Malaysia ke-45 di Jakarta pada 17 dan 18 Februari 2025, kedua-dua negara memeterai dua memorandum persefahaman bagi sektor Sabah–Kalimantan Utara yang menyelesaikan 58.3 kilometer di beberapa lokasi, manakala zon intertidal sepanjang 870 meter masih dalam rundingan.
Berhubung Singapura pula, beliau berkata Malaysia komited mengambil semula pengurusan trafik ruang udara di selatan Kuala Lumpur Flight Information Region secara berfasa bermula dengan Sektor H.
“Usaha ini dilaksanakan secara berperingkat dan pada masa yang sama rundingan persempadanan maritim dengan Singapura akan terus diteruskan bagi mencapai penyelesaian yang boleh diterima bersama,” katanya.
Dalam hubungan dengan Thailand, beliau berkata sejak pemeteraian memorandum persefahaman pengukuran bersama pada 1972, sebanyak 11 memorandum telah ditandatangani yang menyaksikan kejayaan penandaan sepanjang 543 kilometer atau kira-kira 82 peratus daripada keseluruhan sempadan darat.
“Baki jajaran di Bukit Jeli dan Sungai Golok masih dalam proses rundingan aktif bagi memperincikan kaedah teknikal dan penyelesaian yang sewajarnya,” katanya.
Mengulas mengenai China, Mohamad menegaskan Malaysia tidak mempunyai sebarang pertindihan kawasan maritim dengan negara itu.
“Kawasan maritim Malaysia adalah berdasarkan kepada Peta Baru Malaysia 1979. Oleh yang demikian, tidak ada persoalan mengenai rundingan persempadanan maritim dengan China,” katanya lagi. – UMNO Online
