KPT, KPM Tubuh Jawatankuasa Perhalusi Pemindahan Tadbir Urus Tingkatan Enam Dan Matrikulasi
KUALA LUMPUR, 25 Feb – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Jawatankuasa Pemandu Bersama Tingkatan Enam dan Matrikulasi antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah ditubuhkan pada 19 Dis lepas bagi meneliti proses kesinambungan pendidikan serta menilai semua aspek berkaitan ke arah mengoptimumkan sumber sedia ada.
Beliau berkata jawatankuasa itu antara lain berperanan memperhalusi langkah pemindahan tadbir urus melibatkan urusan perundangan, kebajikan, kewangan, perjawatan, sistem dan aset.
“Dalam konteks kebajikan, kementerian akan memastikan prinsip ‘no less favourable’ dirujuk dan dipatuhi bagi menjamin kepentingan pihak terlibat terus terpelihara,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah pelan tuntas pemindahan pengurusan Program Matrikulasi daripada KPM kepada KPT; dan adakah penyelarasan ini mampu menamatkan pertindihan birokrasi, menjimatkan kos operasi dan menjamin kualiti kemasukan ke universiti awam tanpa mengorbankan kuota sedia ada.
Dr Zambry seterusnya memaklumkan proses pemindahan akan diperhalusi secara menyeluruh dengan kerjasama agensi pusat termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Dalam pada itu, KPT dan KPM akan mengadakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili guru Tingkatan Enam bagi mendapatkan input dan maklum balas sewajarnya.
Berhubung penamatan pertindihan birokrasi dan penjimatan kos, Zambry berkata penyelarasan di bawah KPT dijangka dapat mengurangkan pertindihan fungsi antara kedua-dua kementerian, khususnya dalam perancangan kurikulum, pentaksiran, pengurusan kemasukan dan pemantauan kualiti.
Katanya, penyatuan tatakelola itu membolehkan perkongsian sumber, penyelarasan sistem data serta pengoptimuman kos operasi tanpa menjejaskan kebajikan pelajar dan kualiti pengajaran serta pembelajaran.
Dari segi jaminan kualiti kemasukan ke Universiti Awam, beliau berkata KPT akan memastikan Program Matrikulasi terus berfungsi sebagai laluan kemasukan yang berwibawa, adil dan berdaya saing.
“Penjajaran lebih rapat dengan program asasi Universiti Awam dijangka dapat meningkatkan kesediaan akademik pelajar, kebolehbandingan standard serta kebolehterimaan pelajar ke program ijazah,” katanya.
Beliau menegaskan pemindahan pengurusan itu tidak bertujuan mengubah atau mengurangkan unjuran sedia ada, sebaliknya memastikan ia kekal selaras dengan keputusan kerajaan serta prinsip keterangkuman dan keseimbangan akses pendidikan. – UMNO Online
