Hayati Keberkatan Ramadan, Ariff Perkukuh Silaturahim Bersama Masyarakat Setempat

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid berbesar hati memanfaatkan Ramadan dengan menyantuni masyarakat setempat melalui majlis berbuka puasa bersama kariah masjid.

Pada semalam beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas berbuka puasa bersama penduduk kampung di Masjid As-Saudah sekaligus mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

“Alhamdulillah, dapat berbuka puasa ramai-ramai dengan kariah masjid dan orang kampung di Masjid As-Saudah, masjid kampung halaman saya sendiri.

“Rasa cukup dekat di hati bila dapat duduk makan dan berkongsi rezeki dengan orang kampung kita sendiri. Sederhana juadahnya, tapi penuh kemesraan dan muafakat.

“Semoga hubungan kariah masjid dan orang kampung terus rapat, masjid sentiasa makmur dan Kampung Jamuan terus dalam rahmat serta lindungan Allah SWT,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, menerusi hantaran berasingan, Mohd Ariff turut berkongsi ziarah kasih beliau bersama nelayan darat dalam satu majlis penyampaian sumbangan kotak makanan hasil inisiatif Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan.

Beliau dalam pada itu mengharapkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terus diperkukuhkan.

“Alhamdulillah berkongsi rezeki bersama nelayan darat di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini amat bermakna buat saya.

“Syukur dapat bersama-sama nelayan darat dalam majlis penyampaian sumbangan kotak makanan hasil inisiatif Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, semoga sedikit sumbangan ini dapat meringankan beban dan memberi manfaat kepada keluarga nelayan semua.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri Perak atas sokongan dan sumbangan yang diberikan serta Perikanan Daerah Kuala Kangsar atas kerjasama yang sangat baik dalam menjayakan program ini.

“Semoga semangat kebersamaan, saling membantu dan keprihatinan terhadap rakyat terus subur, khususnya dalam bulan yang mulia ini, kita jaga kita,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO