Semangat Wanita UMNO Perlis Terus Diperkukuh – Rozabil

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman menzahirkan penghargaan dan rasa bangga terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh kepimpinan serta ahli Wanita UMNO Perlis dalam menjayakan Program Minda Sihat Sahsiah Hebat yang berlangsung pada Ahad.

Menurut beliau, program berkenaan memperlihatkan semangat luar biasa dalam kalangan Wanita Perlis yang bukan sahaja menjadi tunjang kekuatan keluarga, malah memainkan peranan penting sebagai nadi gerak kerja parti dan masyarakat di peringkat akar umbi.

“Dewan dipenuhi dengan semangat dan kesungguhan. Inilah kekuatan sebenar parti , wanita yang sentiasa berada di belakang perjuangan, memperkukuh organisasi dan menggerakkan masyarakat dengan penuh dedikasi,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada  Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad atas kesudian hadir merasmikan program tersebut sekali gus menyuntik semangat kepada seluruh jentera Wanita UMNO Perlis.

Rozabil juga mengucapkan tahniah kepada Saudari Rozeana Ahmad selaku Ketua Wanita UMNO Negeri Perlis serta seluruh barisan Wanita UMNO Perlis atas inisiatif menganjurkan program yang menghimpunkan semua Ketua Wanita Cawangan dari seluruh negeri.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Tuan Haji Ruzaini, Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Perlis merangkap Ketua UMNO Bahagian Padang Besar bersama barisan kepimpinan Perhubungan UMNO Negeri Perlis.

Beliau menegaskan bahawa semangat yang dipamerkan membuktikan Wanita Perlis sentiasa bersedia berada di barisan hadapan, memimpin dengan hikmah, berkhidmat dengan ikhlas dan bergerak dalam satu saf yang kukuh demi memastikan perjuangan parti terus relevan dan diyakini rakyat.

“Insya-Allah, dengan tekad yang padu dan kesatuan yang utuh, kita akan terus memperkukuh saf perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO