DNA One-Nita: Perkasa Wanita Muda Dalam Bidang Kepimpinan
KUALA LUMPUR, 24 Feb – Program DNA One-Nita Future Leaders merupakan salah satu usaha untuk memperkasa wanita muda dalam bidang kepimpinan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, target untuk meletakkan kepimpinan wanita sebanyak 30 peratus dalam kerajaan hanya akan dapat tercapai sekiranya parti-parti politik berusaha melaksanakannya.

“Program perantis ini bukan hanya atas kertas. Kita melihat ia sebagai platform perkongsian ilmu dan juga kepakaran. Melihat kejayaan fasa pertama… kemudian ia diteruskan kepada fasa kedua.
“Untuk makluman, ketika program dilancarkan, saya selaku Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Secara peribadi program ini memang begitu sentimental kepada diri saya sebab dulu di KPWKM, kita selalu ditanya mengenai apakah usaha kerajaan untuk memastikan target 30 peratus wanita di dalam kepimpinan itu tercapai.
“Tetapi akhirnya ia akan tercapai apabila setiap parti dapat meningkatkan peratusan calon wanita itu sebanyak 30 peratus. Itulah yang sedang diusahakan oleh KPWKM sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perasmian Penutup DNA One-Nita Future Leader ‘Program Pembangunan Kepimpinan dan Komuniti Wanita Muda Negara’ di Menara Dato’ Onn, sebentar tadi.
Ujarnya, sifat wanita yang berempati tinggi sangat diperlukan sebagai pembuat dasar dan beliau beranggapan program-program seumpama ini mampu memperkasa potensi golongan tersebut.

“Kita mahukan agar apabila wanita ini menjadi sebahagian daripada pembuat dasar dan ia membolehkan banyak lagi usaha dilaksanakan. Wanita mempunyai sifat empati tinggi dan apa yang dilaksanakan bukan untuk diri sendiri tetapi untuk keluarga serta masyarakat.
“Sebab itulah melalui program-program seperti ini kita perlu memperkasakan kedudukan wanita di Malaysia ini. Apa yang penting adalah perjuangan saya dan juga rakan-rakan yang mengusahakan program ini untuk mengangkat martabat wanita. Kita tidak pernah dan tidak akan luntur daripada terus untuk membantu wanita terutamanya dalam kepimpinan dan politik.
“Insya-Allah, 30 peratus itu akan tercapai. Sebab itulah kita mulakan dengan bimbingan dan juga ‘mentoring’ seperti yang kita laksanakan pada hari ini. Di hadapan saya ini semua tokoh-tokoh muda. Kalau kita sertai program ini, sudah semestinya setengah daripada anda semua mampu untuk menjadi ‘future leaders’ dengan bimbingan mereka yang berpengalaman,” katanya lagi.
Untuk rekod, DNA One-Nita Future Leader ‘Program Pembangunan Kepimpinan dan Komuniti Wanita Muda Negara’ ini dianjurkan oleh KPWKM dengan kerjasama Program Perantisan Kepimpinan Wanita dan Kelab Jelita. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
