RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang Perlu Dilihat Dalam Perspektif Pembangunan, Keadilan Ekonomi
KUALA LUMPUR, 23 Feb – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching menyifatkan Rang Undang-undang (RUU) Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas iaitu realiti cabaran pembangunan, infrastruktur dan jurang kemiskinan wilayah.
Menurut beliau ini kerana Sabah merupakan antara negeri dengan jumlah penduduk tertinggi di Malaysia dan pada masa yang sama masih berhadapan dengan kadar kemiskinan yang lebih tinggi berbanding purata nasional.
“Pertambahan penduduk membawa implikasi langsung terhadap keperluan pendidikan, kesihatan, kemudahan asas, jaringan jalan raya, bekalan air dan elektrik.
“Kos penyampaian perkhidmatan di Sabah jauh lebih tinggi berbanding negeri negeri di Semenanjung kerana faktor keluasan geografi, keadaan muka bumi serta taburan penduduk yang berselerak.
“Sehubungan itu, kenaikan kadar pemberian ini amat dialu alukan. Namun demikian, saya ingin menegaskan bahawa usaha mengukuhkan kedudukan fiskal Sabah tidak boleh bergantung kepada capitation grant semata-mata,” katanya ketika perbahasan bagi RUU tersebut di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau jika pendekatan ini dapat dilaksanakan secara tuntas dan berkesan, ia akan memberi ruang fiskal yang lebih besar kepada Sabah untuk mempergiat program pembasmian kemiskinan, meningkatkan pelaburan dalam pendidikan dan kesihatan luar bandar, mempercepat pembangunan infrastruktur asas serta memperkukuh peluang ekonomi rakyat.
“Ini bukan soal tuntutan politik semata-mata, tetapi soal keadilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang telah sekian lama menyumbang kepada pembangunan negara,” ujar beliau.
Tambah beliau bagi Sabah ia merupakan permulaan yang baik namun reformasi fiskal yang lebih menyeluruh termasuk pelaksanaan kadar 40 peratus hasil bersih negeri perlu terus diperjuangkan demi memastikan pembangunan yang adil dan saksama.
“Dengan harapan agar pindaan ini menjadi titik tolak kepada sistem pemberian yang lebih responsif, lebih adil dan benar-benar berpaksikan keperluan rakyat di setiap negeri termasuk Sabah,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
