RM70 Juta Diperuntukkan Untuk Selenggara, Naik Taraf Kediaman TLDM Seluruh Negara
KUALA LUMPUR, 23 Feb – Sebanyak RM70 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan naik taraf kediaman Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seluruh negara, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan beliau berkesempatan meninjau Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Balok Perdana yang menjadi kediaman anggota TLDM Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1).

“Hari keempat Ramadan, saya berada di Kuantan, Pahang untuk lawatan kerja. Saya berkesempatan meninjau RKAT di Balok Perdana yang menjadi kediaman anggota TLDM dari MAWILLA 1, Tanjung Gelang.
“Berpeluang menziarahi kediaman anggota, bertanya khabar dan menyantuni mereka serta keluarga. Dalam kesempatan ini, sumbangan kebajikan daripada Yayasan LTAT turut disampaikan kepada anggota dan ahli keluarga yang mengalami sakit kronik sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
“Kerajaan Madani terus berusaha menambah baik penginapan warga ATM dan keluarga mereka. Tahun ini, RM70 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan naik taraf kediaman TLDM di seluruh negara, termasuk kira-kira RM4.31 juta bagi MAWILLA 1.
“Kebajikan anggota dan keluarga mereka akan terus menjadi perhatian sebagai penghargaan atas khidmat dan pengorbanan kepada negara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut meninjau pelaksanaan Program Ekonomi Madani melalui projek Cendawan Urban Farming yang diusahakan oleh Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).

“Inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang menjana pendapatan tambahan kepada anggota dan keluarga melalui pendekatan pertanian bandar yang inovatif juga mampan, malah telah mula membuahkan hasil nyata serta memberikan pulangan kepada peserta yang terlibat.
“Usaha ini membuktikan bahawa inisiatif ekonomi komuniti dalam ATM mampu diperkasa secara mampan selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan dan pemerkasaan ekonomi rakyat.
“Kementerian Pertahanan akan terus memperluas dan memperkukuh inisiatif seumpama ini agar manfaatnya dapat dirasai lebih ramai anggota serta keluarga ATM,” katanya lagi. – UMNO Online
