Pelaburan Teknologi Tinggi RM900 Juta Lonjak Johor Ke Tahap Industri Global

JOHOR BAHRU, 23 Feb – Johor terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi utama industri berteknologi tinggi apabila menerima pelaburan strategik bernilai RM900 juta daripada Longda Group, syarikat global dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa, tenaga dan kejuruteraan berat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pelaburan berimpak tinggi itu dijangka mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, khususnya kepada anak muda Johor.

Menurut beliau, lawatan kerja ke China sebelum ini memberi peluang kepada delegasi Johor meninjau sendiri operasi Jiangsu Longda Superalloy, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap kemampuan teknologi dan kepakaran syarikat berkenaan.

“Dalam pertemuan rasmi yang diketuai oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mr. Pu Yilong, perbincangan tertumpu kepada perkembangan pelaksanaan projek di Johor termasuk garis masa pembangunan, pematuhan piawaian teknikal serta pelan pengembangan operasi bagi jangka sederhana dan panjang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, Longda memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan aeroangkasa global dengan membekalkan superalloy berketulenan tinggi bagi komponen “hot-section” enjin pesawat untuk kegunaan komersial dan pertahanan.

“Keupayaan ini disokong oleh ekosistem penyelidikan dan pembangunan yang komprehensif termasuk institut aloi suhu tinggi, pusat teknologi serta pangkalan penyelidikan pasca-doktoral, sekali gus membuka ruang pemindahan teknologi dan kepakaran kepada tenaga kerja tempatan.

“Projek ini turut memberi penekanan serius kepada pembangunan modal insan melalui kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melibatkan pemilihan 30 graduan tempatan untuk menjalani latihan industri di ibu pejabat Singda di China dengan kumpulan pertama seramai tujuh graduan dijadualkan berlepas pada 2 Mac dan satu lagi pengambilan seramai 30 graduan pada tahun hadapan bagi membina bakat Johor dalam bidang teknologi aloi berprestasi tinggi.”

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Longda Group atas keyakinan dan komitmen memilih Johor sebagai destinasi pelaburan strategik mereka.

Beliau juga berharap kerjasama tersebut akan terus diperkukuh, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada anak Johor serta memastikan pembangunan bakat tempatan secara mampan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO