‘PDRM Terima Laporan Kes Kecemasan Tanpa Syarat Kod Pakaian’

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan orang awam bagi kes kecemasan tanpa keperluan kepada pematuhan kod etika berpakaian.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata antara contoh kes yang perlu diberikan pengecualian dan layanan keutamaan termasuklah kes-kes yang melibatkan jenayah, kemalangan jalan raya, ancaman keselamatan serta kes-kes tertentu yang berpotensi mendatangkan tekanan emosi atau trauma seperti kejadian rogol, samun, cabul, keganasan rumah tangga dan lain-lain.

“Susulan insiden yang melibatkan dua orang wanita yang terlibat dalam kemalangan jalan raya tetapi tidak dibenarkan membuat laporan kerana tidak mematuhi etika pemakaian, PDRM telah menetapkan bahawa bagi kes kecemasan atau situasi yang memerlukan bantuan serta-merta, keutamaan hendaklah diberikan sepenuhnya kepada kebajikan, keselamatan dan keperluan pengadu tanpa keperluan kepada pematuhan kod etika berpakaian.

“Makluman berhubung ketetapan tersebut telah pun disampaikan kepada semua Ibu Pejabat Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah melalui surat edaran Jabatan Pengurusan PDRM Bukit Aman pada 29 Disember 2025 bagi memastikan pelaksanaannya adalah seragam, jelas dan difahami oleh semua pegawai yang terlibat di peringkat pelaksanaan,” katanya.

Shamsul berkata demikian ketika pertanyaan jawab lisan daripada Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berkenaan cadangan untuk memperkenalkan undang-undang untuk mewajibkan semua balai polis di seluruh negara menerima laporan-laporan polis oleh pihak awam tanpa mengambil kira keadaan pakaian di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut kata Shamsul, pada masa ini kementerian berpandangan bahawa arahan pentadbiran yang telah dikeluarkan adalah mencukupi dan berkuat kuasa serta-merta di seluruh negara.

Menurut beliau arahan tersebut juga adalah selari dengan Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2025 Pemantapan Pengurusan Perhubungan Pelanggan Sektor Awam, yang memberi ruang dan budi bicara kepada setiap kementerian dan agensi Kerajaan untuk menetapkan etika pemakaian yang bersesuaian mengikut fungsi dan keperluan perkhidmatan masing masing, khususnya bagi urusan di kaunter dan pejabat.

“Pendekatan ini juga selari dengan prinsip penyampaian perkhidmatan awam yang digariskan dalam Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2025. Pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara merupakan punca kuasa pentadbiran yang mengikat semua jabatan dan agensi Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, Kementerian akan terus memantau pelaksanaan dan tidak teragak-agak menambah baik dasar sekiranya perlu,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO