90 Peratus Aduan Jalan Rosak Milik KKR Diselesaikan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Dr Ahmad Maslan memaklumkan sebanyak 54,055 aduan berkaitan jalan raya telah diterima melalui aplikasi MyJalan bagi tempoh Ogos 2023 hingga Januari 2026.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 16,671 aduan atau 30.8 peratus melibatkan jalan di bawah bidang kuasa KKR.

“Di bawah KKR sebanyak 1,511 dalam siasatan, sudah selesai 90 peratus bersamaan 15,160 sudah selesai,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika menjawab Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berkenaan jumlah laporan yang dibuat melalui aplikasi MyJalan dan jumlah yang telah diselesaikan, di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu kata beliau 69.1 peratus baki bersamaan 37,384 aduan melibatkan jalan di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi lain termasuk jalan bandaran, jalan kampung, jalan pertanian, jalan di Sabah dan Sarawak serta jalan persendirian.

Katanya KKR bagaimanapun tetap mengambil tindakan susulan dengan menyalurkan aduan tersebut kepada kementerian berkaitan.

“Jika aduan itu melibatkan jalan pertanian, kita akan hantar kepada Kementerian Pertanian. Jika melibatkan jalan kampung, kita hantar kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Kita berada dalam kerajaan yang sama dan saling bekerjasama bagi memastikan setiap aduan rakyat dapat ditangani dengan berkesan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO