Kenyataan Pemuda PH : Antara Bina Perspsi Atau Penyelesaian
Saya membaca kenyataan Pemuda Pakatan Harapan Johor berhubung gangguan bekalan air di Simpang Renggam, Machap, Benut dan sebahagian Pontian Utara dengan satu persoalan asas di fikiran, adakah kita sedang membincangkan penyelesaian, atau sedang membina persepsi?
Isu air bukan isu yang boleh dipandang ringan. Ia menyentuh dapur rakyat, rutin keluarga, peniaga kecil dan kehidupan seharian masyarakat. Sebab itu saya percaya isu seperti ini perlu diurus dengan tanggungjawab dan kefahaman yang tepat, bukan dengan naratif herot yang mungkin sedap didengar tetapi kurang tepat dari sudut teknikal.
YAB Menteri Besar telah pun menjelaskan dengan jelas bahawa tiada pusat data di kawasan agihan LRA Simpang Renggam. Pusat data di Sedenak pula menerima bekalan daripada LRA Semangar yang bersumberkan Sungai Johor, bukan daripada Empangan Machap. Mudahnya begini, sistemnya tidak bersambung. Sumbernya tidak sama. Loji rawatannya berbeza.
Dalam pengurusan air, perkara asas seperti ini sangat penting. Kalau kita tersalah faham struktur teknikalnya, maka mudah untuk kita membuat kesimpulan yang tidak selari dengan realiti sebenar. Gangguan yang berlaku berpunca daripada kemarau berpanjangan dan penyusutan paras air mentah. Fenomena ini bukan luar biasa dalam konteks perubahan iklim hari ini. Negeri lain juga berhadapan cabaran yang sama.
Persoalannya, adakah setiap kali berlaku kemarau kita mahu mencari satu kambing hitam pembangunan untuk dipersalahkan? Kerajaan negeri telah melaksanakan Bekalan Air Berjadual sebagai langkah sementara, suatu bentuk pendekatan yang bukan popular sifatnya, tetapi ianya amat perlu. Apabila paras air kembali stabil dan operasi loji pulih, penjadualan dihentikan sepenuhnya. Itu menunjukkan tindakan dibuat berdasarkan data, bukan drama.
Saya tidak menafikan hak mana-mana pihak untuk bertanya. Dalam demokrasi, soalan itu sihat. Tetapi soalan yang baik biasanya datang selepas memahami konteks sebenar. Kita semua mahukan Johor terus maju sebagai hab pelaburan. Pada masa yang sama, kita juga mahu hak rakyat terhadap perkara asas kehidupan, khususnya bekalan air bersih terjamin. Kedua-dua perkara ini tidak bercanggah jika diurus dengan perancangan yang betul.
Namun apabila isu teknikal diangkat menjadi isu politik, akhirnya yang terkesan bukan kerajaan tetapi keyakinan rakyat dan sentimen pelaburan. Dalam keadaan rakyat baru sahaja melalui tempoh penjadualan bekalan air, mungkin yang lebih membantu ialah menenangkan keadaan, memberi maklumat yang tepat, dan menggalakkan penggunaan berhemah, bukannya menambah persoalan yang sudah pun dijawab secara terbuka. Saya ingin bertanya secara jujur dan terus terang:
• Jika fakta teknikal telah dijelaskan,
• jika struktur agihan telah diperincikan,
• jika punca kemarau telah diperakui secara umum,
maka apakah sebenarnya yang masih mahu dipertikaikan?
• Adakah benar kebimbangan itu bersifat penyelesaian?
• Atau sekadar mahu memastikan isu ini terus bernyawa dalam ruang politik dangkal?
Rakyat Johor hari ini tidak lagi menilai berdasarkan siapa paling lantang bersuara. Mereka menilai siapa yang faham isu, siapa yang bekerja, dan siapa yang bertingkah umpama “telunjuk lurus kelingking berkait”, “berkokok berderai-derai, tapi ekor tercalit tahi”. Dalam mengharungi krisis ini, kita semua sepatutnya menjadi penenang, bukan pencetus keresahan.
Jika benar kita mahu mendidik rakyat tentang tadbir urus yang baik, maka marilah kita bermula dengan memahami fakta sebelum membina naratif yang juling.
DATUK ZAKARIA DULLAH
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam
