Mohd Jafni Turun Padang Pantau Bazar Ramadan MBIP, 224 Lokasi Diluluskan Tahun 2026
ISKANDAR PUTERI, 20 Feb – Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, turun padang meninjau sendiri operasi Bazar Ramadan Taman Nusa Perintis di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) semalam bagi memastikan pengurusan bazar berjalan teratur, selamat dan memberi manfaat terus kepada peniaga kecil tempatan serta pengunjung sekitar Iskandar Puteri.
Lawatan tersebut turut disertai Datuk Bandar MBIP, Hasrin Kamal dan Ahli Majlis MBIP, Yusli.
Menurut Mohd Jafni, pendekatan turun padang ini selaras dengan penekanan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang mahu setiap inisiatif ekonomi rakyat dipantau terus di lapangan dan bukan sekadar di atas kertas.

“Kita tidak mahu dasar hanya cantik di atas kertas. Pengurusan Bazar Ramadan mesti dipastikan tersusun, bersih dan selamat, selain benar-benar membantu peniaga kecil tempatan menjana pendapatan,” katanya selepas lawatan tersebut.
Jelasnya, bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri Johor meluluskan sebanyak 224 lokasi bazar melibatkan 13,576 petak di seluruh 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini.
“Penstrukturan lokasi dan petak dibuat bagi memastikan setiap bazar benar-benar berdaya maju, bersih, selamat dan tidak menimbulkan isu kesesakan atau gangguan kepada penduduk setempat, selaras dengan agenda pentadbiran negeri yang menekankan pengurusan bandar lebih tersusun serta keseimbangan antara aktiviti ekonomi dan kesejahteraan komuniti.”
Katanya, dalam usaha membela peniaga kecil dan mengurangkan tekanan kos sara hidup, Kerajaan Negeri menetapkan yuran tapak Bazar Ramadan di seluruh Johor di bawah RM500.
“Ketetapan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasa ekonomi akar umbi dan memastikan peluang mencari rezeki kekal milik rakyat tempatan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan harga makanan di bazar mestilah berpatutan dan munasabah supaya rakyat dapat menikmati juadah Ramadan pada nilai yang adil tanpa beban kos melampau.
“Kerajaan Negeri Johor turut menegaskan bahawa semua aktiviti perniagaan di Bazar Ramadan adalah dilarang sama sekali kepada warga asing sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Rekod penguatkuasaan tahun 2025 menunjukkan sebanyak 11 kes tindakan telah diambil di bazar Ramadan seluruh negeri melibatkan enam kes sitaan, dua kes arahan lisan, dua notis dan satu kompaun, termasuk kes menggajikan pekerja warga asing secara tidak sah.
“Peluang ekonomi rakyat tidak boleh dikompromi atau dieksploitasi mana-mana pihak. Sebarang cubaan memindah milik atau menyewakan lesen kepada pihak ketiga termasuk warga asing merupakan pelanggaran serius dan boleh dikenakan pembatalan lesen serta penutupan gerai serta-merta,” tegasnya.

Sepanjang lawatan di Bazar Taman Nusa Perintis, beliau turut meneliti aspek susun atur gerai, aliran pengunjung, kebersihan, keselamatan makanan serta pematuhan syarat lesen dan mendapati secara keseluruhannya harga makanan yang ditawarkan adalah berpatutan.
Beliau juga merakamkan penghargaan terhadap ketabahan peniaga yang tetap cekal berniaga walaupun berdepan hujan lebat pada hari pertama Ramadan.
“Kita memahami cabaran peniaga, khususnya apabila cuaca tidak mengizinkan. Kerajaan Negeri akan terus memastikan Bazar Ramadan kekal sebagai ruang ekonomi rakyat tempatan yang bersih, adil dan beretika,” katanya.
Ujarnya lagi, Kerajaan Negeri Johor akan meneruskan pemantauan secara berterusan sepanjang Ramadan 2026 dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan aduan sekiranya terdapat pelanggaran syarat, demi memastikan rezeki bermusim ini kekal milik peniaga tempatan dan ekonomi akar umbi Johor terus diperkasa. – UMNO Online
