MARA Dapat Diskaun Hingga 30 Peratus, Jimat RM300,000 Yuran Pengajian Seorang Pelajar Di Australia

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya memperoleh diskaun yuran pengajian antara 20 hingga 30 peratus hasil rundingan dibuat dengan beberapa universiti terkemuka di Australia, sekali gus menjimatkan antara RM200,000 hingga RM300,000 bagi pembiayaan seorang pelajar.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kejayaan itu dicapai menerusi siri pertemuan rasmi bersama tiga menteri Australia dan lima universiti utama negara itu dalam lawatan kerja terbaru beliau.

“Pertemuan penting yang berlangsung Ahad lalu membabitkan Menteri Pendidikan Australia, Jason Clare; Menteri Kemahiran dan Latihan, Andrew Giles serta Timbalan Menteri Pendidikan Antarabangsa, Julian Hill.

“Alhamdulillah, misi perundingan kali ini sangat menakjubkan apabila kami berjaya menyempurnakan empat perjumpaan penting dan memperoleh perbincangan yang amat berkesan,” katanya dalam hantaran di TikTok, malam tadi.

Asyraf Wajdi berkata, lawatan itu mempunyai matlamat jelas iaitu meningkatkan akses pelajar MARA ke institusi pendidikan berkualiti tinggi di Australia, namun pada masa sama bertujuan mengurangkan kos pembiayaan luar negara.

Katanya, MARA khususnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serius dalam memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memperluas kemasukan serta laluan pengajian kepada pelajar.

“Objektif utama kita memastikan pelajar mendapat pendedahan silang negara yang menyeluruh dan bermanfaat. Pada masa sama, kita perlu berfikir secara kreatif bagaimana untuk meningkatkan jumlah pelajar dihantar ke luar negara dengan kos yang lebih rendah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MARA turut meneroka model kerjasama baharu seperti program 2+2 atau 3+1 yang membolehkan pelajar mengikuti sebahagian pengajian di Malaysia sebelum menyambung baki tempoh di Australia.

“Dengan langkah itu, pelajar boleh melanjutkan pengajian peringkat seterusnya di luar negara dan itu menandakan kita tidak hanya menghantar pelajar melalui laluan pendidikan normal.

“Pendekatan itu berpotensi mengurangkan kos keseluruhan pengajian, selain membuka peluang kepada lebih ramai pelajar mengikuti pengajian di luar negara.

“Kerjasama Malaysia-Australia dalam bidang pendidikan bukan sesuatu yang baharu, malah tahun ini menandakan ulang tahun ke-60 MARA.

“Kita sudah menjalin hubungan yang lama dalam kolaborasi ini dan sempena ulang tahun ke-60 MARA, kita serius mempertingkatkan jalinan kerjasama ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Justeru, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya sangat berharap kerajaan dan universiti di Australia dapat terus mempertimbangkan pemberian diskaun yuran pengajian bagi membolehkan lebih ramai pelajar MARA melanjutkan pengajian di negara itu pada masa depan. – BHarian

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO