Tahun Baharu Cina Medium Kukuh Muhibah Rakyat Pahang – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 17 Feb – Menteri Besar Pahang merangkap Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina 2026 kepada seluruh masyarakat Tionghua khususnya di negeri ini.
Beliau berkata, sambutan perayaan tersebut bukan sahaja mencerminkan kekayaan budaya dan tradisi masyarakat Tionghua, malah menjadi simbol penting kepada keharmonian serta perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Sambutan perayaan ini bukan sahaja mencerminkan kekayaan budaya dan tradisi masyarakat Tionghua, malah mengukuhkan lagi semangat perpaduan, saling hormat-menghormati dan muhibah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Marilah kita terus berganding bahu, memperkukuh keharmonian dan bersama-sama membina Pahang yang makmur dan sejahtera untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat kebersamaan dan perpaduan yang utuh akan terus menjadi teras pentadbiran negeri di bawah gagasan Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan.
Wan Rosdy turut mengakhiri ucapannya dengan lafaz ‘Gong Xi Fa Cai’ dan ‘Xin Nian Kuai Le’ sebagai tanda penghargaan serta kebersamaan bersama masyarakat Tionghua yang menyambut perayaan tersebut. – UMNO Online
