Azalina Ucap Selamat Tahun Baharu Cina 2026, Seru Kukuh Perpaduan
KUALA LUMPUR, 17 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Azalina Othman Said menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina 2026 kepada seluruh masyarakat Tionghoa di negara ini sempena sambutan Tahun Kuda.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, Tahun Kuda yang disambut kali ini melambangkan kekuatan, semangat serta kemajuan, selari dengan aspirasi rakyat untuk terus melangkah ke hadapan dalam suasana harmoni dan sejahtera.
“Selamat Tahun Baru Cina 2026. Tahun Kuda ini melambangkan kekuatan, semangat dan kemajuan. Semoga tahun ini membuka lebih banyak pintu rezeki, kesihatan yang baik dan kebahagiaan bersama insan tersayang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, kepelbagaian kaum dan budaya yang diraikan di Malaysia merupakan asas penting dalam membina sebuah negara bangsa yang kukuh serta dihormati.
“Ayuh kita raikan perbezaan, kita kukuhkan perpaduan,” ujarnya.
Beliau turut mengakhiri ucapan dengan ungkapan tradisi masyarakat Tionghoa sebagai tanda hormat dan kebersamaan ‘Gong Xi Fa Cai, Wan She Ru Yi, Xin Nian Kuai Le’.
Sambutan Tahun Baharu Cina sentiasa menjadi simbol perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum, selari dengan semangat muafakat yang terus diperjuangkan UMNO demi kestabilan dan kemakmuran negara. – UMNO Online
