Tradisi Diteruskan: Manndzri Santuni Masyarakat Tionghua Sempena Tahun Baharu Cina
TENGGARA, 16 Feb – Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Ahli Parlimen Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib, meneruskan tradisi kebajikan yang telah berjalan sejak tiga tahun lalu dengan menyantuni pelajar sekolah serta masyarakat Tionghua di sekitar kawasan tersebut.
Menurut beliau, program tahunan itu bertujuan berkongsi kegembiraan perayaan serta mengeratkan hubungan antara kaum melalui pendekatan prihatin dan inklusif.

Tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Parlimen Tenggara menerima sumbangan melibatkan hampir 700 pelajar yang masing-masing menerima angpau termasuk lebih 100 orang guru dan kakitangan sekolah, selain limau mandarin dan bantuan kepada PIBG.
“Raya Cina ini kita mahu anak-anak kita rasa dihargai. Walaupun jumlahnya kecil, yang penting nilai kebersamaan dan kasih sayang. Ini tradisi yang kita kekalkan iaitu kita cuba yang terbaik agar keceriaan dirasai, sambil menyokong usaha sekolah melalui sumbangan PIBG,” kata Manndzri.
Beliau turut turun padang bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tenggara dan MCATenggara menziarahi keluarga yang memerlukan di sekitar Taman Kota Jaya.
Jelasnya, sebanyak 80 set sumbangan disediakan merangkumi limau mandarin, bakul makanan dan angpau untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

“Inilah semangat Malaysia, kita santuni semua tanpa mengira kaum atau agama. Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan, tetapi peluang untuk memperkukuh perpaduan dan menyemai nilai prihatin dalam komuniti.”
Tambahnya, program sedemikian menerima sambutan baik dari penduduk setempat yang menyifatkannya sebagai usaha konsisten dalam memastikan kebajikan masyarakat terus terbela, khususnya menjelang musim perayaan. – UMNO Online
