Suara Nelayan Pengerang Akan Terus Saya Bawa, Pertahankan – Azalina

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa beliau akan sentiasa membawa dan mempertahankan suara para nelayan di kawasan berkenaan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) telah hadir memberikan sumbangan bingkisan Ramadan bersama komuniti nelayan dalam Parlimen Pengerang.

“Semalam saya di program sumbangan bingkisan Ramadan bersama komuniti nelayan dalam kawasan Parlimen Pengerang di Bayu Damai.

“Seramai 664 orang nelayan menerima sumbangan bingkisan Ramadhan fasa 2.0 berupa RM150 tunai, set baju hujan dan kurma sempena Ramadan.

“Nilainya mungkin tak besar, tapi Insya-Allah sedikit sebanyak dapat meringankan beban buat persiapan puasa dan menghadapi musim laut yang tak menentu,” katanya.

Jelasnya, hampir RM29.7 juta telah disalurkan sejak 2023 untuk pelbagai inisiatif komuniti nelayan.

“Sejak 2023, hampir RM29.7 juta disalurkan untuk pelbagai inisiatif komuniti nelayan daripada jaket keselamatan, elaun sara hidup, bantuan tunai, kotak makanan, sampailah naik taraf jeti dan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Semua ini supaya nelayan kita turun ke laut dengan lebih selamat … dan balik ke rumah dengan lebih tenang.

“Dalam masa sama, Kerajaan Madani turut menyalurkan bantuan MySARA RM100 untuk setiap individu 18 tahun ke atas sepanjang Ramadan, selain Jualan Rahmah dan subsidi barangan asas setiap minggu.

“Selagi diberi amanah, suara nelayan Pengerang akan terus saya bawa dan pertahankan. Kita jaga kebajikan mereka kerana di sebalik hasil laut, ada keringat dan pengorbanan yang tidak ternilai,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO