KETENGAH–FELDA Berganding Bahu, Rakyat Nikmati Manfaat Pembangunan – Rozi Mamat
KUALA LUMPUR, 16 Feb – Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Rozi Mamat menegaskan bahawa kerjasama erat antara KETENGAH dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) merupakan pemangkin penting dalam memperkasa pembangunan wilayah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, apabila kedua-dua agensi itu bergerak seiring dan saling melengkapi, lebih ramai keluarga khususnya di kawasan luar bandar berpeluang menikmati limpahan pembangunan, peluang ekonomi baharu serta kehidupan yang lebih sejahtera.
“Apabila KETENGAH dan FELDA bergerak seiring, Insya-Allah lebih ramai keluarga dapat merasai nikmat pembangunan, peluang ekonomi dan kehidupan yang lebih sejahtera.
“Bagi saya, kerjasama inilah kekuatan sebenar. Bukan hanya program atau acara, tetapi jalinan hati antara agensi demi kesejahteraan masyarakat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu turut berharap segala usaha yang dilaksanakan walaupun kelihatan kecil, akan menjadi asbab kepada rezeki yang lebih luas, kebahagiaan keluarga serta masa depan yang lebih cerah buat generasi muda di wilayah berkenaan.
“Mudah-mudahan usaha kecil yang kita lakukan hari ini menjadi asbab rezeki, kebahagiaan dan masa depan yang lebih baik buat anak-anak di wilayah ini.
“Kita bina bersama, kita jaga bersama, kerana akhirnya yang kita perjuangkan adalah kehidupan rakyat,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar semua pihak terus memperkukuh sinergi dan komitmen bersama demi memastikan agenda pembangunan luar bandar sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat dan memberi impak jangka panjang kepada negeri Terengganu. – UMNO Online
