Agihan Kurma Semarak Sambutan Ramadan Di Mersing
KUALA LUMPUR, 16 Feb – Sempena ketibaan Ramadan yang bakal menjelma, Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof berbesar hati turun padang menyantuni masyarakat dengan mengagihkan kurma kepada peniaga dan orang ramai di beberapa lokasi sekitar Mersing.
Pengagihan dimulakan di Pasar Segar Awam Mersing serta Perhentian Teksi dan Bas Mersing bersama Ketua-Ketua Kampung serta kepimpinan UMNO setempat.
“Saya bersama isteri, Ketua-Ketua Kampung dan Kepimpinan UMNO mengagihkan kurma sempena menyambut Bulan Ramadhan Al Mubarak di Pasar Segar Awam Mersing dan Perhentian Teksi dan Bas Mersing.
“Alhamdulilah, dapat berjumpa ramai peniaga dan pengunjung yang ada di sini dan sempat mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua.
“Daripada Pasar Segar Mersing, kami terus ke Pasar Awam Endau bagi mengagihkan Kurma sempena Ramadhan Al Mubarak yang akan bermula pada minggu hadapan. Alhamdulillah, dapat berjumpa dengan para peniaga dan juga pengunjunh di Pasar Endau ini yang sudah mula mencari stok makanan untuk Ramadhan ini.
“Saya ambil juga peluang di sini, bagi mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua. Semoga ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain pada tahun ini lebih baik dan dapat diterima oleh Allah SWT,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Selain itu, beliau turut melaksanakan program Ops Warung di Warung Roti Canai Macha, Taman Desa, Endau dengan mengagihkan kurma kepada pelanggan, pekerja serta pemilik warung berkenaan.
Dalam kesempatan sama, beliau turut menyerahkan sumbangan khemah PUJB kepada seorang peniaga kecil, Ahmad Shanawey Roslan, bagi membantu kelangsungan perniagaannya di Bandar Endau.
“Selesai pengagihan kurma di Pasar Endau, kami sarapan pagi di warung. Turut diagihkan kurma kepada yang sedang bersarapan pagi di sini dan juga pekerja-pekerja dan pemilik Warung Roti Canai Macha ini.
“Terima Kasih kepada semua Ketua-Ketua Kampung, Ketua-Ketua UMNO Cawangan dan Ketua-Ketua Wanita UMNO Cawangan dan semua yang terlibat tadi dalam pengagihan kurma,” ujar beliau. – UMNO Online
