Tambun Fighters Sasar Final, Penyokong Diseru Penuhi Kompleks Bola Sepak Chepor – Akmal Zharif

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun, Akmal Zharif Ahmad Kamal menyeru seluruh penyokong bola sepak Tambun untuk turun beramai-ramai ke Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor, Perak bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan Tambun Fighters yang bakal beraksi dalam perlawanan separuh akhir petang ini.

Tambun Fighters dijadualkan menentang Parlimen Ipoh Timor dalam Kejohanan Liga Sejahtera Inter-Parlimen Negeri Perak 2026, satu kejohanan yang menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dari setiap kawasan parlimen di negeri itu.

Menurut Akmal Zarif, perlawanan ini amat penting buat Tambun Fighters dalam misi melangkah ke pentas final dan seterusnya mencipta sejarah tersendiri buat penyokong setia mereka.

“Tambun Fighters memang tak pernah ‘relax’! Semangat juang dan komitmen pemain sentiasa berada pada tahap terbaik. Kini tiba masanya untuk kita sebagai penyokong memainkan peranan dengan memenuhi stadium dan menaikkan semangat pasukan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Beliau mengajak semua penyokong untuk hadir seawal jam 5.00 petang bagi memeriahkan suasana serta memberi sokongan moral kepada para pemain yang akan beraksi dalam perlawanan penuh sengit itu.

Tambah beliau lagi, sebanyak 200 helai baju penyokong khas Tambun Fighters disediakan secara terhad kepada mereka yang hadir awal.

“Siapa cepat, dia dapat. Konsep ‘first come, first serve’. Jadi jangan lepaskan peluang untuk tampil dengan identiti pasukan kita,” ujarnya.

Perlawanan separuh akhir ini dijangka berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan dan sokongan padu kedua-dua penyokong, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan serta kebersamaan komuniti setempat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO