Pemerkasaan Digital Seiring Pemeliharaan Adat Negeri Sembilan – Mohd Faizal
SEREMBAN, 13 Feb – Kerajaan Negeri Negeri Sembilan terus komited memperkasa agenda digital dan teknologi tanpa mengetepikan pemeliharaan Adat Perpatih sebagai teras jati diri rakyat negeri itu.
Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli, berkata usaha mengimbangi kemajuan teknologi dengan pemeliharaan adat bukan sekadar dasar, sebaliknya satu keperluan strategik bagi memastikan negeri ini kekal relevan dan berdaya saing.
“Seantero dunia mengenali Negeri Sembilan sebagai negeri yang kaya dengan Adat Perpatih, warisan turun-temurun dan nilai kesantunan yang membentuk jati diri masyarakatnya. Namun dalam realiti dunia yang bergerak pantas, rakyat Negeri Sembilan tidak boleh terus terbuai dengan kebanggaan adat semata-mata tanpa keberanian melangkah ke hadapan,” katanya.

Beliau menegaskan, agenda digital, teknologi dan pemerkasaan adat perlu bergerak seiring demi membina masa depan negeri yang berakar pada identiti sendiri.
“Sebagai Exco Digital dan Adat Negeri Sembilan, saya melihat agenda ini bukan sekadar dasar, tetapi satu keperluan strategik bagi memastikan Negeri Sembilan kekal relevan, berdaya saing dan berakar pada jati diri sendiri.”
Menurut beliau, sepanjang tahun 2025 sahaja, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan minat generasi baharu, khususnya pelajar dan belia terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Antara program yang dilaksanakan termasuk Karnival STEM Generasi Madani Peringkat Negeri di Bandar Baru Serting, Karnival Digital STEMriaJJ Madani di Jempol dan Jelebu, serta Program Kebitaraan STEM di Port Dickson.
Dalam masa sama katanya, penekanan turut diberikan kepada kemahiran digital menerusi Program Google Summit Tech sempena PERPATIH FEST 2025, Hari Keselamatan Siber PSUKNS serta latihan modul Digital AI bersama Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.
Jelas beliau, tahun 2026, usaha diperkasakan lagi dengan peruntukan lebih besar dan bersasar. Inisiatif Generasi Celik AI diperkenalkan dengan peruntukan RM300,000 bagi memperluas literasi kecerdasan buatan dalam kalangan rakyat, manakala Geran Adat sebanyak RM550,000 disediakan untuk memelihara, memperkasa dan mendigitalkan warisan adat Negeri Sembilan. Penganjuran PERPATIH FEST turut diperkukuh dengan peruntukan RM500,000 sebagai platform integrasi teknologi, inovasi dan adat.
“Terlalu banyak usaha kita dalam memastikan rakyat Negeri Sembilan tidak ‘meninggalkan’ adat dan tidak ‘ditinggalkan’ teknologi. Namun, tidak semua mampu diceritakan dalam ruangan sempit ini,” katanya.
Beliau berkata, komitmen berterusan Kerajaan Negeri mencerminkan kesungguhan dalam membina ekosistem digital yang inklusif, progresif dan berpaksikan nilai tempatan.
“Sesungguhnya era hari ini menuntut lebih daripada nostalgia dan warisan. Perkembangan digital, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terkini sedang mengubah cara dunia bekerja, berfikir dan bersaing. Negeri Sembilan mahu terus relevan dan berdaya saing, adat yang diwarisi perlu diperkukuh dengan kemajuan, bukan dipisahkan daripadanya,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan Kerajaan Negeri adalah jelas memelihara adat sebagai jati diri, sambil membina ekosistem digital dan teknologi sebagai kekuatan masa depan negeri dan generasi akan datang. – UMNO Online
