Ahmad Zahid Sambut Baik Saranan PM Perkukuh Kerjasama Strategik Keselamatan Siber Negara
PUTRAJAYA, 13 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar seluruh pemegang taruh memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan keselamatan siber negara sentiasa berada pada tahap tertinggi, selaras dengan cabaran geopolitik dan perkembangan teknologi digital yang pesat.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Faecbooknya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bil.1/2026 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam mendepani ancaman siber yang semakin kompleks dan dinamik.

“Saya menyambut baik saranan YAB Perdana Menteri agar seluruh pemegang taruh memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan keselamatan siber negara sentiasa berada pada tahap tertinggi, selaras dengan cabaran geopolitik dan perkembangan teknologi digital yang pesat,” katanya.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan turut meneliti kemajuan penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi (CSCDC) sebagai entiti berpusat yang menyatukan fungsi kriptologi dan keselamatan siber negara di bawah penyelarasan Agensi Keselamatan Siber Negara dan Majlis Keselamatan Negara.
Ujarnya, perbincangan juga menyentuh cadangan dasar baharu Rang Undang-Undang Jenayah Siber termasuk usaha menangani penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan seperti deepfake, penyebaran kandungan tidak bermoral serta aspek pengekalan data bagi memperkukuh siasatan dan pendakwaan.
Ahmad Zahid menegaskan komitmen Kerajaan untuk terus memperkasa ekosistem keselamatan siber negara secara menyeluruh.
“Insya-Allah, Kerajaan akan terus memperkasa ekosistem keselamatan siber negara bagi menjamin kestabilan, melindungi kepentingan ekonomi serta memastikan ruang digital negara kekal selamat untuk rakyat dan generasi masa hadapan,” katanya. – UMNO Online
