RTS Link: Malaysia, Singapura Sepakat Muktamad Perundangan Domestik – Dr Shamsul Anuar
KUALA LUMPUR, 12 Februari – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Malaysia dan Singapura bersetuju memastikan perundangan domestik kedua-dua negara berhubung perjalanan Rapid Transit System Link (RTS Link) dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya 30 Jun ini.
Menurut beliau pendekatan itu penting bagi memastikan perundangan berkenaan sedia dikuatkuasakan sepenuhnya menjelang 30 September depan.
“Pemeteraian Perjanjian Tambahan (Supplementary Agreement-SA) ini merupakan obligasi kepada Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Singapura untuk mewujudkan perundangan domestik masing-masing selewat-lewatnya 30 Jun 2026 untuk dikuatkuasakan sepenuhnya pada 30 September 2026,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) RTS Link Johor Bahru-Singapura 2026 bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, semalam.
Kata beliau lagi garis masa tersebut dipersetujui menerusi perjanjian tambahan yang dimuktamadkan semasa Permukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 pada 4 Disember 2025.
“Kerajaan yakin bahawa dengan kuasa diperuntukkan dalam RUU ini, kedaulatan dan kepentingan negara akan terpelihara termasuk perlindungan terhadap pegawai penguat kuasa Malaysia yang bertugas di Singapura (Stesen Woodlands North),” katanya.- UMNO Online
