Langkah Proaktif Johor Memacu Agenda Kelestarian dan Ekonomi Hijau

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di bawah pimpinan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup atas penyaluran peruntukan berjumlah RM9.658 juta kepada Johor bagi tahun ini dalam usaha memperkukuh agenda kelestarian serantau.

Beliau berkata, peruntukan tersebut akan dimanfaat untuk mempertingkatkan pengurusan sumber semula jadi serta menangani isu konflik antara manusia dan hidupan liar.

“Menerusi pertemuan ini, pelbagai perkara dan isu telah dibincangkan termasuklah isu konflik manusia dan hidupan liar khususnya gajah yang memberi kesan kepada keselamat Bangsa Johor.

“Kerajaan Negeri bersama kementerian akan memperkukuh pengurusan habitat, pengaktifan taskforce khas dan bantuan kerugian akibat konflik manusia–gajah supaya keselamatan rakyat terjamin sekaligus pemuliharaan spesies terus dilaksanakan secara bertanggungjawab,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut kata beliau perbincangan juga turut menekankan pengukuhan kawasan perlindungan hutan, pelaksanaan rondaan biodiversiti serta pemerkasaan renjer komuniti di lapangan bagi membanteras pencerobohan dan aktiviti haram.

Menurut beliau ini kerana hutan dan sumber asli bukan sekadar aset alam tetapi pelindung bekalan air, penampan bencana serta warisan yang perlu dipertahankan untuk generasi akan datang.

“Dalam aspek kualiti alam sekitar pula, penguatkuasaan terhadap pencemaran sungai dan aktiviti industri terus diperkasa secara bersepadu antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Pendekatan tegas serta pemantauan berterusan ini membuahkan hasil positif apabila jumlah sungai tercemar di Johor berjaya dikurangkan daripada sembilan kepada tujuh sungai, sekali gus menyumbang kepada persekitaran yang lebih sihat untuk Bangsa Johor.

“Keseluruhan usaha ini mencerminkan komitmen berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda kelestarian secara lebih tersusun, berfasa dan berimpak tinggi.

“Kerjasama ini turut merangkumi pengukuhan serta pemerkasaan Johor Green Deal sebagai kerangka dasar utama yang memandu peralihan Johor ke arah ekonomi hijau, rendah karbon dan lebih berdaya tahan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO