Komitmen MUBARAK Berterusan Perkukuh Kesejahteraan Bersama – Abdul Aziz
KUALA LUMPUR, 12 Feb – Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, menegaskan komitmen beliau dan organisasi itu untuk terus bekerja, berkhidmat, dan memperjuangkan kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara.
Beliau menekankan kepentingan MUBARAK dalam menyuburkan semangat patriotisme, memperkukuh identiti nasional, serta membimbing masyarakat melalui pengalaman dan kepakaran bekas wakil rakyat.

“Sebagai bekas wakil rakyat, tanggungjawab kita tidak berhenti selepas meninggalkan Dewan Rakyat atau Dewan Negeri. Kita perlu terus menyumbang kepada masyarakat dan menanam nilai integriti, keharmonian, dan patriotism,” katanya.
Beliau berkata, usaha ini amat penting dalam memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang maju, berdaya saing, dan bersatu.
“Peranan kita hari ini adalah menanam benih yang akan dituai oleh generasi akan datang, menyemai nilai-nilai patriotisme dan kepimpinan yang bijaksana, serta memastikan bahawa setiap langkah dan pengorbanan kita hari ini menjadi asas kepada sebuah negara yang maju, adil, dan harmoni.”
Abdul Aziz turut menekankan beberapa isu utama yang menjadi fokus MUBARAK, termasuk ideologi negara dan identiti nasional, isu sosial dan keagamaan semasa, sejarah warisan dan naratif negara, serta usaha memperkukuh kebajikan sosial dan pembangunan masyarakat.
Menurutnya, organisasi ini bukan sekadar badan sosial, tetapi sebuah platform strategik untuk membimbing masyarakat melalui pendekatan proaktif dan bersepadu.

“Kita perlu melihat masa depan negara dengan penuh optimisme. Walaupun cabaran pelbagai, semangat dan usaha kolektif kita akan memastikan bangsa ini terus maju dan mampu menghadapi sebarang perubahan global.”
“MUBARAK, sejak penubuhannya, telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesejahteraan sosial, mengukuhkan identiti nasional, dan memperkasa pembangunan masyarakat secara menyeluruh. Insya-Allah, organisasi ini akan terus berkhidmat dan berjuang untuk memastikan aspirasi bangsa Malaysia terus tercapai,” katanya.
Antara program yang telah dilaksanakan oleh MUBARAK termasuk Parlimen Mahasiswa yang melibatkan penyertaan 10 Ahli Parlimen Mahasiswa dari setiap IPTA serta enam wakil IPTS.
Selain itu katanya program penghayatan Rukun Negara dan Pancasila turut dilaksanakan secara berterusan, termasuk melalui sesi perbincangan serta wacana terbuka sebagai usaha memperkukuh kefahaman dan semangat kenegaraan dalam kalangan generasi muda. – UMNO Online
