Dira Bersama Komuniti Sempena Semarak Ramadan, Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berbesar hati meluangkan masa bersama rakyat di Pasar Tani Jasin sempena Sambutan Ulang Tahun ke-41 Pasar Tani, program Semarak Ramadan serta perayaan Tahun Baharu Cina.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin menyifatkan Pasar Tani Jasin bukan sekadar lokasi urusan jual beli, malah menjadi nadi ekonomi mikro masyarakat setempat yang memberi ruang kepada peniaga kecil menjana pendapatan.

“Pasar Tani Jasin bukan sekadar lokasi jual beli, ia adalah nadi ekonomi mikro masyarakat setempat di mana peniaga kecil menjana pendapatan, tempat rakyat mendapatkan barangan segar dengan harga berpatutan, dan ruang interaksi sosial yang menyatukan pelbagai kaum dalam suasana harmoni.

“Dalam konteks ekonomi rakyat, pasar tani memainkan peranan penting sebagai mekanisme keseimbangan harga serta membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Memanfaatkan masa tersebut beliau yang juga dikenali sebagai Dira turut sama mengambil inisiatif membantu meringankan beban pengunjung menerusi pemberian subsidi barangan keperluan asas.

Menurutnya, melihat kehadiran orang ramai yang begitu menggalakkan, beliau mengambil kesempatan untuk menawarkan 100 ekor ayam pada harga RM10 seekor berbanding harga asal RM18.

“Begitu juga dengan telur, daripada harga asal RM10, dijual pada RM5. Selain itu, bubur lambuk turut diagihkan secara percuma kepada pengunjung sebagai simbol kebersamaan sempena Ramadan.

“Bagi saya, ini bukan sekadar jualan murah tetapi satu usaha kecil untuk meringankan beban rakyat dalam suasana ekonomi yang mencabar. Politik yang bertanggungjawab mesti hadir dengan solusi yang praktikal, bukan hanya kenyataan,” ujar beliau.

Beliau turut menyifatkan pasar tani tersebut mempunyai nilai sentimental yang amat bermakna dalam perjalanan politiknya kerana menjadi antara tempat paling ramai bertemu dan berinteraksi dengan pengundi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.

“Secara peribadi, Pasar Tani Jasin mempunyai nilai sentimental tersendiri. Ketika PRN Melaka 2021 yang lalu, di sinilah antara lokasi paling ramai saya bertemu pengundi, bersalaman, mendengar keluhan dan harapan mereka. Tempat ini tidak pernah asing dalam perjalanan politik saya.

“Insya-Allah, selagi diberi amanah, saya akan terus memastikan denyut nadi rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap tindakan dan dasar yang diperjuangkan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO