Proses Penggantian Paip Usang Fasa Pra-Pelaksanaan – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Projek Kerja-Kerja Penggantian Paip Usang dan Menaiktaraf Paip Transmisi Dan Agihan Di Daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan Sabah telah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RP1, RMKe-13), dengan kos projek sebanyak RM200 juta melalui penyediaan peruntukan kepada Kerajaan Negeri Sabah secara pinjaman.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata skop projek ini merangkumi kerja menaik taraf paip Mild Steel Cement Lined (MSCL) sedia ada bersaiz 300mm hingga 450mm sepanjang 27.1km serta penggantian sistem paip bekalan air sedia ada, iaitu dari jenis Asbestos Cement (AC) kepada paip MSCL bersaiz 150mm hingga 200mm sepanjang 7.44km.

“Status terkini, projek berada dalam fasa pra-pelaksanaan bagi pelantikan perunding. Perancangan dan pembangunan infrastruktur bekalan air di negeri Sabah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Sabah.

“Pelaksanaan projek ini akan dilaksana serta dipantau rapi oleh Jabatan Air Sabah (JA Sabah), selaras dengan fungsinya di bawah Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 selaku Pegawai Penguasa.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek pinjaman Kerajaan Persekutuan adalah tertakluk kepada Peraturan Pekeliling Perbendaharaan (PA) 1.1: Peraturan Bagi Membelanjakan Peruntukan Pinjaman Di Bawah Anggaran Perbelanjaan Pembangunan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF),” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya meminta Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air menyatakan status kemajuan kerja penggantian paip usang serta menaik taraf paip transmisi di daerah Putatan, Sabah seperti yang digariskan dalam Belanjawan Madani 2026 serta apakah pendekatan yang ditegaskan untuk memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan mengikut penjadualan yang dipersetujui bersama kontraktor pengendali.

Abdul Rahman seterusnya menambah bagi memastikan pelaksanaan projek mengikut jadual dan terma kontrak, Jabatan Bekalan Air (JBA) melaksanakan mesyuarat pemantauan projek pada setiap bulan bagi memastikan projek-projek secara geran dan pinjaman berjalan lancar.

“Selain itu, Mesyuarat dan lawatan tapak ke projek-projek pinjaman di Sabah juga dilaksanakan secara berkala pada setiap tahun bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan agensi berkaitan bagi memastikan projek bekalan air di Negeri Sabah dilaksanakan mengikut jadual,” tambahnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO