Malaysia Cadang Garis Panduan Bersama Pembiayaan Pihak Ketiga di Peringkat Komanwel

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Malaysia mencadangkan agar Sekretariat Komanwel menjalankan pemetaan amalan sedia ada serta membangunkan cadangan garis panduan bersama bagi memastikan pembiayaan pihak ketiga (Third Party Funding) dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan berintegriti merentasi negara-negara Komanwel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu penting bagi memastikan mekanisme pembiayaan tersebut benar-benar berfungsi untuk memperluas akses kepada keadilan, tanpa disalahgunakan bagi membawa tuntutan remeh, spekulatif atau bermotif keuntungan.

“Malaysia berpandangan bahawa Sekretariat Komanwel perlu memainkan peranan menyelaras dengan menjalankan pemetaan amalan sedia ada dan seterusnya membangunkan garis panduan bersama, supaya pembiayaan pihak ketiga dapat dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan berintegriti di seluruh negara Komanwel,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas membentangkan kertas perbincangan mengenai Pembiayaan Pihak Ketiga pada Mesyuarat Menteri-Menteri Undang-Undang Komanwel 2026 yang berlangsung di Fiji.

Menurut Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO, pendekatan bersama itu juga dapat membantu mengelakkan penyalahgunaan mekanisme pembiayaan berkenaan yang berpotensi menjejaskan kedaulatan serta kestabilan negara berdaulat, khususnya dalam kes-kes timbang tara antarabangsa.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Malaysia kekal komited untuk memperkukuh rangka kerja perundangan domestik, termasuk melalui pindaan Akta Timbang Tara 2005, selari dengan perkembangan global berkaitan pembiayaan pihak ketiga.

“Malaysia akan terus mengemudi perbincangan di peringkat antarabangsa ke arah pendekatan yang lebih seimbang, adil dan berprinsip, sambil memastikan kepentingan negara serta akses kepada keadilan sentiasa terpelihara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO