Larangan Penternakan Babi: Titah Sultan Selangor Cerminan Keprihatinan Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Ketua Wanita Hulu Selangor, Senator Datuk Rosni Sohar menyifatkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan bahawa tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini sebagai cerminan keprihatinan kepada rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata keputusan ini juga membuktikan bahawa kepentingan rakyat dan pemeliharaan alam sekitar sentiasa menjadi keutamaan melebihi sebarang pertimbangan keuntungan ekonomi.

“Saya mewakili suara rakyat Hulu Selangor ingin merafak sembah dan menjunjung kasih setinggi-tingginya kepada Sultan Selangor atas ketegasan dan kebijaksanaan Tuanku berhubung isu cadangan projek penternakan babi berskala besar di Bukit Tagar.

“Titah Tuanku amat jelas dan tegas, bahawa projek tersebut tidak diperkenankan untuk dilaksanakan di mana-mana daerah dalam Negeri Selangor.

“Keputusan ini mencerminkan keprihatinan mendalam Tuanku terhadap kebajikan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut kata beliau, penolakan terhadap cadangan projek ini oleh penduduk Hulu Selangor adalah berasaskan kebimbangan yang nyata dan munasabah kerana lokasi Bukit Tagar berhampiran kawasan penempatan penduduk, tanah rancangan Felda.

“Ia juga berhampiran dengan sumber air utama negeri menimbulkan pelbagai risiko, antaranya pencemaran bau dan udara yang menjejaskan kualiti hidup penduduk, potensi pencemaran sungai dan kawasan tadahan air. Malah juga memberi ancaman kepada bekalan air bersih bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya; serta gangguan terhadap keharmonian sosial dan kesejahteraan komuniti setempat.

“Kebimbangan ini bukan bersifat andaian semata-mata, sebaliknya merupakan suara rakyat yang berasaskan fakta dan pengalaman setempat,” ujar beliau.

Rosni dalam pada itu turut sama menyambut baik saranan agar keperluan masyarakat bukan Islam dapat dipenuhi melalui kaedah import yang lebih terkawal, tanpa perlu mengorbankan kesejahteraan rakyat dan kelestarian Negeri Selangor.

“Justeru, saya menyeru Kerajaan Negeri Selangor, agensi-agensi berkaitan serta semua pihak berkepentingan agar menghormati titah Tuanku dan menoktahkan polemik ini dengan segera demi ketenteraman serta keharmonian bersama.

“Sekali lagi, patik merafak sembah dan menjunjung kasih di atas keprihatinan dan kebijaksanaan Tuanku,” katanya lagi.

Terdahulu pada semalam, Sultan Selangor menegaskan bahawa baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini. Aktiviti itu, titah baginda, boleh menyebabkan pencemaran udara dengan mengeluarkan bau yang busuk serta boleh mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO