WDS: MINDEF Akan Terus Sokong Usaha Perkasa Syarikat Tempatan – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan terus menyokong usaha untuk memperkasa syarikat tempatan agar lebih berupaya dan berdaya saing, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO Malaysia memaklumkan bahawa beliau telah meninjau reruai syarikat pertahanan Malaysia sempena World Defense Show (WDS) 2026 di Riyadh.

“Sempena penyertaan Malaysia di WDS 2026 di Riyadh, saya meninjau reruai syarikat pertahanan Malaysia yang mempamerkan keupayaan industri tempatan di peringkat antarabangsa, termasuk dalam meneroka pasaran global.

“Saya melawat reruai Mildef International Technologies Sdn Bhd (MILDEF) yang terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), reka bentuk, fabrikasi, penyelenggaraan, dan telah berjaya membangunkan Kenderaan Perisai 4×4 (HMAV) TARANTULA yang akan dibekalkan kepada Tentera Darat Malaysia.

“Saya turut melawat reruai Ketech Asia Sdn Bhd yang memfokuskan kepada pengeluaran amunisi, selain membekalkan sistem persenjataan, aksesori dan penyelesaian logistik,” katanya.

Jelasnya, usaha pemerkasaan industri tempatan perlu dilakukan untuk mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing, memperkukuh ‘self-reliance’, dan menyokong agenda Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).

“Ketech juga memiliki kilang pembuatan amunisi yang menghasilkan peluru bersaiz 5.56mm dan 9mm, sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekosistem amunisi tempatan.

“Kementerian Pertahanan akan terus menyokong usaha memperkasa syarikat tempatan agar lebih berupaya dan berdaya saing, serta tidak lagi bergantung kepada Pengeluar Peralatan Asal (OEM) secara langsung.

“Kesemua ini penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing, memperkukuh ‘self-reliance’, serta menyokong agenda DIPN,” katanya lagi.

WDS merupakan pameran pertahanan bertaraf antarabangsa yang dianjurkan oleh General Authority for Military Industries (GAMI) Arab Saudi untuk menghimpunkan pemain industri, kerajaan dan pihak tentera dari seluruh dunia dalam satu platform kerjasama strategik.

Acara ini memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi pertahanan merentasi pelbagai domain termasuk darat, udara, laut, angkasa dan keselamatan, sekali gus menjadi medan untuk mempamerkan inovasi terkini serta memperkukuh jaringan industri global.

Selain menjadi platform pameran teknologi dan aset pertahanan, WDS turut berfungsi sebagai ruang perbincangan strategik antara kerajaan, syarikat industri dan pembuat dasar bagi meneroka peluang pelaburan, pembangunan keupayaan industri serta perkongsian kepakaran dalam sektor pertahanan global. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO