Syarikat Milikan Agensi Perlu Bergerak Sebagai Entiti Berdaya Saing – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Sesi Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2026 diteruskan dengan sesi khas bersama Syarikat Milikan Agensi yang menghimpunkan Pengerusi Agensi, Ketua Agensi, Ketua Jabatan, Ketua Pegawai Eksekutif serta barisan pengurusan syarikat di bawah KKDW bagi memperkukuh hala tuju syarikat sebagai pemacu ekonomi luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ucapannya berkata syarikat milikan agensi perlu bergerak sebagai entiti yang berdaya saing, mampan dan berorientasikan keberhasilan, selaras dengan matlamat memberikan pulangan dan manfaat kepada rakyat.

“Alhamdulillah, anjakan daripada cost centre kepada profit centre mula membuahkan hasil apabila prestasi kewangan subsidiari menunjukkan peningkatan pendapatan dan keuntungan yang lebih kukuh. Namun pencapaian ini hanyalah asas untuk melangkah lebih jauh.

“Keutamaan seterusnya ialah memastikan setiap keuntungan diterjemahkan kepada manfaat rakyat melalui pemanfaatan aset secara optimum, pengukuhan rantaian nilai industri luar bandar serta penggunaan data sebagai sumber baharu penjanaan pendapatan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau turut menekankan kepentingan tadbir urus yang telus, berintegriti dan berprestasi tinggi sebagai teras pengurusan syarikat, selari dengan keperluan persekitaran korporat yang semakin kompetitif.

“Saya yakin, dengan kepimpinan berani dan disiplin pelaksanaan yang konsisten, syarikat milikan agensi KKDW mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi luar bandar yang lebih progresif dan mampan, insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO